Ahad, Januari 20, 2008

PENDIDIKAN AGAMA BANTU HINDARI GEJALA RASUAH

DALAM kita menghadapi kehidupan di dunia ini, kita memerlukan pekerjaan yang halal bagi menyara dan meneruskan kehidupan kita. Dengan mengamalkan sifat jujur dan amanah, kita akan beroleh kejayaan kerana dengan sifat inilah kita akan dapat menghindarkan sebarang gejala yang tidak baik seperti amalan rasuah. Sifat yang menginginkan material semata-mata inilah antara faktor utama yang boleh membawa kepada keruntuhan negara dan masyarakat. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 yang tafsirannya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya."
Definisi
Rasuah disebut dalam bahasa Arab sebagai Ar-risywah atau Ar-rasywah yang membawa maksud sebagai penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi tersebut diambil dari kata asal rasuah Ar-rasya bermaksud tali timba yang digunakan untuk mengambil air perigi.
Adapun di dalam kitab Al-'Arus, rasuah bererti sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukum sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.
Manakala dari segi istilah pula sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salahnya.
Menurut Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131, suapan adalah termasuk wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga, harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada wang boleh digerakkan atau tidak; jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak, perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan; pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya; pulangan berharga, diskaun, komisyen, rebet dan bonus; menahan diri dari menuntut wang atau sesuatu yang bernilai wang atau barang berharga; bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh; perkhidmatan lain, pertolongan atau faedah; tawaran, jaminan atau janji untuk memberi atau apa jua suapan seperti yang disebutkan di atas.
Hukum
Menurut syarak hukum rasuah adalah berdosa besar kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 tafsirannya:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Dari ayat tersebut, Allah Subhanahu Wataala melarang makhluk-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang tidak betul. Amalan rasuah juga ada disebut oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata: "Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah." Hadis riwayat Ibnu Majah.
Faktor
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan rasuah itu boleh berlaku antaranya:
1/ Lemah pendidikan agama dan etika kerja.
2/ Tamak.
3/ Banyak berhutang.
4/ Ada keinginan dan ada peluang.
5/ Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah.
6/ Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai cara hidup.
7/ Untuk mencapai cita-cita.
8/ Belanja hidup yang semakin meningkat.
9/ Suka hidup mewah melebihi pendapatan.
Kesan
Adalah menjadi tanggungjawab bagi seseorang individu atau masyarakat untuk mencegah gejala rasuah ini daripada terus merebak yang boleh menghancurkan keselamatan serta ekonomi negara kerana amalan rasuah mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk antaranya:
Pertama: Kesan terhadap individu.
i/ Kehilangan pekerjaan.
ii/ Kejatuhan moral atau maruah.
iii/ Menerima hukuman.
iv/ Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.
v/ Keluarga terabai.
Kedua: Kesan terhadap masyarakat
i/ Mengakibatkan ketidakadilan dengan membiarkan hak-hak orang lain.
ii/ Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.
iii/ Membebankan golongan orang yang susah.
iv/ Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin disalahgunakan.
Ketiga: Kesan terhadap negara
i/ Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.
ii/ Menjejaskan keselamatan.
iii/ Pembangunan yang tidak seimbang.
iv/ Kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.
v/ Mengurangkan pendapatan negara.
vi/ Menurunkan kualiti dan produk kerja.
Penyelesaian
Gejala rasuah mestilah diselesaikan agar tidak berleluasa. Antara cara penyelesaian ialah seperti berikut:
- Menyebarkan kefahaman mengenai konsep Islam kepada masyarakat dengan memberikan penjelasan mengenai hukum dan reaksi Islam terhadap amalan rasuah.
- Memberikan pendidikan Islam sejak kecil lagi dengan membentuk mereka supaya menjadi orang yang beriman, bertakwa dan mulia.
- Membentuk individu agar mengamalkan sifat yang mulia seperti amanah, jujur dan ikhlas.
- Memperbanyakkan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan.
- Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam.
- Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membanteras gejala rasuah daripada lebih berleluasa.
Kita sering mendengar rasuah sering dikaitkan dengan orang yang menghadapi masalah kewangan akan tetapi itu bukanlah sebagai alasan semata-semata kerana apa yang kita dapati sekarang ini, amalan rasuah juga dilakukan oleh golongan yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Hakikatnya, amalan rasuah tidak akan berlaku jika sekiranya seseorang itu berpegang kuat kepada ajaran Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya dengan sentiasa mengamalkan dan memantapkan lagi keimanan dalam jiwanya.
Oleh itu, adalah wajar bagi kita untuk sama-sama bekerjasama dalam membanteras gejala rasuah daripada merebak yang boleh mengakibatkan sesebuah organisasi menjadi kurang mantap dan membawa kemerosotan ekonomi. Dengan memberikan pendidikan agama Islam sejak kecil lagi adalah satu cara yang terbaik untuk menghindarkan diri dari gejala rasuah yang boleh merosakkan diri sendiri. Keimanan yang mantap dalam jiwa seseorang boleh menghindarkan perkara-perkara yang mungkar.

Tiada ulasan: