Sabtu, Januari 12, 2008

40,000 pekerja awam kontrak hadapi risiko hilang kerja

Berita Harian

BACHOK: Lebih 40,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat dalam sektor awam berdepan risiko hilang pekerjaan berikutan tiada mekanisme khusus untuk menyerapkan mereka sebagai kakitangan tetap kerajaan.

Presiden Cuepacs, Omar Osman mendakwa ada kakitangan kontrak di agensi kerajaan yang ditamatkan perkhidmatan tanpa sebab kukuh selepas hampir 10 tahun berkhidmat, sekali gus menyukarkan mereka menyara keluarga.

Beliau berkata, sebahagian besar kakitangan kontrak terbabit ditamatkan perkhidmatan berikutan perubahan dasar sesuatu agensi disebabkan pengurusan baru atau agensi berkenaan diswastakan.

"Sehingga kini lebih 40,000 kakitangan kontrak di setiap agensi kerajaan yang sudah berkhidmat lebih tiga tahun tetapi tidak diserapkan sebagai kakitangan tetap.

“Pekerja kontrak terbabit melakukan bermacam kerja, ada buat kerja pejabat dan pelbagai kerja. Tetapi lepas beberapa tahun, khidmatnya ia ditamatkan. Ramai kakitangan kontrak yang umur mereka sudah lanjut dan berusia lebih 40 tahun serta mempunyai anak ramai. Kalau mereka diberhentikan kerja dan tak diserapkan, susahlah...siapa nak sara keluarga mereka," katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Cuepacs Kelantan, Shamsudin Mohd Noor.

Seramai 121 kakitangan kontrak dan sambilan JPN akan ditamatkan perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 31 Januari ini berikutan kontrak mereka tidak disambung, manakala 132 yang lain dilanjutkan tempoh perkhidmatan.

Kakitangan kontrak JPN Kelantan itu mengadakan perjumpaan dengan Cuepacs bagi meminta sokongan supaya masalah mereka diajukan kepada JPN negeri dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Omar mendakwa nasib pekerja kontrak dalam sektor awam tidak diberi perhatian disebabkan kurang perancangan bagi pengambilan kakitangan tetap baru pada peringkat pengurusan sumber manusia sesebuah agensi kerajaan.

Katanya, pengurusan sesebuah jabatan itu tidak membuat perancangan khusus bagi mengisi kekosongan jawatan sehingga pekerja kontrak yang sudah lama berkhidmat tidak diserapkan ke jawatan berkenaan walaupun mempunyai kelayakan.
Beliau mencadangkan agar kakitangan kontrak dilantik untuk tempoh singkat seperti setahun bagi membantu menyelesaikan kerja tertunggak sesebuah jabatan bagi membolehkan mereka mencari kerja lain lebih awal sebelum kontrak berakhir.

Tiada ulasan: