Selasa, Januari 08, 2008

HAK KEADILAN ASASI PEKERJA

HAK KEADILAN ASASI PEKERJA
DALAM KES TATATERTIB

Oleh

ABDUL AZIZ HUSSIN, AMN
DPA; LL.B (Hons); Dip. M. Mgmt.; M.Sc (Prjt. Mgmt);
MMIM; Peguambela & Peguamcara; MMAP
abdaziz@usm.my




PENDAHULUAN: KONSEP HAK KEADILAN ASASI


Hakim Lord Hewart dalam kes mahkamah yang agak terkenal R lwn Sussex Justices ex parte Mc Carthyl1 , menyebut:

“Adalah menjadi keperluan asas bahawa keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi perlu juga dipastikan yang ia dilaksanakan”.

Profesor De Smith dalam bukunya Constitutional and Administrative Law 2 menyebut:

“Peraturan keadilan asasi adalah taraf minimum dalam membuat keputusan yang saksama yang dikenakan oleh undang-undang terdapat orang atau badan yang bertugas bertindak secara kehakiman ... isi kandungan keadilan asasi boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian dan boleh berbeza-beza ... yang penting ialah kepentingan pihak terlibat perlu diambilkira dan dicapai tanpa berat sebelah dan selepas peluang yang secukupnva diberikan kepada pihak yang berkenaan untuk membentangkan kesnya”.

Begitu juga dalam kes Associated Provincial Picture Houses lwn Wednesbury Corporation,3 Mahkamah Rayuan Inggeris menyebut pihak yang mengendalikan kes hendaklah tidak bersikap buruk sangka, amanah, tidak memberi perhatian kepada perkara yang karut-marut, atau kepada perkara yang tidak munasabah. Tentang persoalan "munasabah", Hakim Lord Greene M.R. menyebut bahawa:

“…seseorang yang diamanahkan dengan budi bicara hendaklah memberikan tumpuan yang sepenuhnya dengan betul terhadap undang-undang. Dia hendaklah memberikan perhatian kepada perkara yang dia terikat untuk dipertimbangkan. Dia hendaklah menyisihkan dirinya daripada mempertimbangkan perkara yang tidak berkait dengan apa yang akan dipertimbangkan ... Jika tidak ... dia akan bertindak secara tidak munasabah”.

A.V. Dicey dalam bukunya An Introduction to the Study of the Law of The Constitution,4 memberikan pandangan yang berikut (dalam konteks penjawat awam, tetapi terpakai juga kepada pekerja swasta):

“Penjawat awam hendaklah melaksanakan tugas yang dirujukkan kepadanya tanpa berat sebelah dan memberikan peluang kepada pihak-pihak untuk membentangkan kesnya dalam bentuk yang mencukupi. Namun pentadbir boleh mengikut kaedahnya dan acaranya yang tersendiri walaupun dia tidak selalu mengikut cara mahkamah undang-undang”.

Mahkamah dalam kes Byrne lwn Kinematograph Renters Society Ltd.5 memberikan panduan untuk menentukan keadilan asasi itu tercapai. Pertama, seorang yang dituduh hendaklah mengetahui bentuk tuduhan yang dibuat; kedua, dia hendaklah diberi peluang untuk menyatakan kesnya; ketiga, tribunal hendaklah bertindak dengan niat baik (iaitu tanpa buruk sangka).

Ketua Hakim Tucker dalam kes Russel lwn Duke of Norfolk,6 menyebut:

“Keperluan keadilan asasi bergantung kepada keadaan kes, bentuk siasatan, peraturan Badan Penyiasat itu menjalankan kuasanya, perkara pokok yang dibincangkan dan yang sebagainya”.

Hak keadilan asasi perlu mematuhi dua prinsip utama iaitu:

(a) Prinsip audi alleram partem, iaitu orang yang berkenaan diberi peluang yang mencukupi untuk menyatakan kesnya semasa perbicaraan.

(b) Prinsip "tidak berat sebelah" atau nemo debet judex sua causa/nemo judex in cause sua potest..


PRINSIP-PRINSIP KEADILAN ASASI:
PRINSIP PERTAMA-

AUDI ALTERAM PARTEM

Dalam membincangkan prinsip pertama ini, ciri-ciri yang berikut akan disentuh:

(a) Keperluan notis pemberitahuan tentang kesalahan yang dihadapi oleh pekerja yang berkenaan;

(b) Keperluan diberi peluang membuat representasi jawapan atau berhujah atas kesnya dalam masa yang munasabah. Peluang membuat representasi ini sama ada secara lisan atau tulisan;

(c) Hak menyoal saksi dan hak diwakili oleh peguam;

(d) Hak diberitahu keputusan dan hak dinyatakan alasan keputusan;

(c) Pertimbangan kes terdahulu dan prinsip "pembebasan dahulu" (autrefois acquit), "sabitan dahulu" (autretois comvict), dan res judicata;

(f) Hak merayu dan dengar semula.

Contoh kes-kes mahkamah yang menimbulkan persoalan di atas juga dikemukakan dibawah ini sebagai kes kajian.

· Keperluan Diberitahu/Notis Pemberitahuan

Seseorang pekerja yang dikenakan tindakan tatatertib hendaklah terlebih dahulu diberitahu jenis kesalahan yang dilakukannya yang membolehkan dia, jika didapati salah, dikenakan tindakan tatatertib.

Hakim Lord Denning dalam kes Surrinder Singh Kanda lwn Kerajaan Malaysia7 menyebut:

“Jika hak untuk didengari hendak dijadikan hak sebenar-benarnya yang amat bermakna, ia hendaklah juga dikaitkan dengan hak orang yang dituduh untuk mengetahui kes yang dikenakan terhadapnya”.

Dengan perkataan lain, hak untuk diberitahu kesalahan yang dilakukan menjadi salah satu ciri utama hak keadilan asasi.

Untuk menjadikan pemberitahuan itu berkesan, pekerja yang berkenaan hendaklah diberitahu:

(i) Masa dan tarikh kesalahan dilakukan;
(ii) Di mana (tempat) kesalahan dilakukan.,
(iii) Jenis perbuatan yang dilakukan;
(iv) Terhadap siapa, dengan siapa (jika ada) kesalahan dilakukan;
(v) Peruntukan undang-undang/peraturan yang dilanggar oleh penjawat awam yang berkenaan.

Selain itu jika seorang pekerja dituduh dengan lebih daripada satu tuduhan, atau telah diperoleh lebih daripada satu pengaduan, maka jika tuduhan pertama sahaja dikenakan (diberitahu) kepada pekerja itu, tidaklah memadai dan akan menyalahi prinsip keadilan asasi jika Badan Tatatertib menimbangkan juga pertuduhan atau pengaduan lain yang berkenaan. Mengikut kes Lembaga Pemegatig Amanah Maradana lwn Mahmud8 jika ada dua tuduhan atau pengaduan terhadap seseorang janganlah memberitahu orang itu satu tuduhan sahaja.

Begitu juga dalam membuat keputusan kelak, Lembaga Tatatertib cuma boleh menimbang tuduhan yang telah diberitahu kepada pekerja itu sahaja. Adalah menyimpang daripada prinsip keadilan asasi jika pekerja yang berkenaan didapati bersalah atas kesalahan yang lain daripada yang dituduh (dan diberitahu) keatasnya (kes Lau Liut Meng lwn Jawatankuasa Tatatertib). 9

Jika semasa siasatan didapati ada maklumat yang boleh mendatangkan prasangka kepada kepentingan pekerja yang dituduh itu, maka maklumat yang berkenaan perlulah diberitahu kepada pekerja itu. Dalam kes Surinder Singh Kanda lwn Kerajaan Persekuluan Tanah Melayu,10 Mahkamah Majlis Privy menyebut:

“Apabila maklumat diperolehi atau diketahui oleh pihak berkuasa yang boleh mendatangkan prasangka kepada kepentingan sesuatu pihak, maka intipati maklumat itu hendaklah diberitahu kepada pihak itu bagi membolehkannya mengemukakan keterangan jawapan”.

· Peluang Membuat Representasi

Setelah pekerja itu diberitahu akan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, maka pekerja yang berkenaan hendaklah diberi peluang secukupnya (tempoh masa yang paling munasabah) untuk membolehkannya memberi jawapan dan alasan bagi membela dirinya daripada tuduhan yang berkenaan (atau dinamakan "peluang membuat representasi").

Ketua Hakim Tucker dalam kes Russel lwn Duke of Norfok, " menyatakan:

“Keperluan keadilan asasi mestilah bergantung kepada persekitaran kes, bentuk siasatan yang dijalankan, peraturan dengan mana tribunal itu bertindak, perkara pokok yang diuruskan dan yang sebagainya ... salah satunya ialah dia diberi peluang untuk menyatakan kesnya”.

Dalam kes De Verteuil lwn Knagg,12 mahkamah menyebut:

“Dalam melaksanakan sesuatu siasatan, selain dalam keadaan khas, menjadi satu tanggungjawab untuk membenarkan seseorang yang pengaduan dibuat terhadapnya (iaitu orang yang dikenakan tuduhan), memperoleh peluang yang adil untuk membuat sebarang kenyataan yang berkaitan yang dia ingin kemukakan dan peluang yang adil untuk membetulkan atau menentang sebarang kenyataan yang dikemukakan yang menimbulkan prasangka terhadapnya”.

Dalam kes R lwn Thames Magistrates’ Court: Dalam Perkara Polemes,13 mahkamah sekali lagi menekankan perlunya individu yang terlibat diberikan "masa yang munasabah" untuk menyediakan kesnya.

Penentuan sesuatu kes yang mengenal "masa yang munasabah" adalah mengikut kes masing-masing. Suatu kes yang rumit yang memerlukan pekerja tersebut mencari dan mengumpul keterangannya dalam membuat representasi tentulah memerlukan masa yang lebih lama daripada kes yang agak mudah dan tidak memerlukan maklumat yang mendalam. Contohnya pekerja yang dituduh menjalankan kegiatan yang bertentangan dengan kepentingan syarikat akan memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyediakan representasi membela diri jika dibandingkan dengan pekerja yang dituduh bergaduh semasa bekerja. Jadi konsep “masa yang munasabah" berbeza antara satu kes dengan yang lain. Dengan demikian berkemungkinan akan wujud kesukaran dalam membuat ukuran "masa yang munasabah". Kebanyakan peraturan-peraturan syarikat telah menetapkan masa "tidak kurang daripada 14 hari daripada tarikh surat tunjuk sebab diterima daripada majikan (pihak berkuasa tatatertib)". Jadi masa minimum bagi "masa yang munasabah" ialah 14 hari. Oleh itu adalah baik jika dalam kes yang rumit, pihak berkuasa tatatertib menetapkan masa yang lebih lama, misalnya 21 hari atau satu bulan.

Persoalan yang berikut ialah berkenaan dengan pendengaran hujah, sama ada ia boleh diterima secara lisan atau secara bertulis sahaja. Ini ialah kerana dalam kes R lwn Amphlett (Hakim), 14 kes Kavanagh lwn. Ketua Konstabel Devon dan Carnwell, " dan kes Peguam Negara lwn. Ryan, " ada disebutkan bahawa tiada peraturan tetap yang mengatakan bahawa mendengar hujah mestilah dengan cara lisan. Penulis berpendapat, demi menjamin keadilan, terpulanglah kepada pekerja yang berkenaan sama ada hendak membuat representasi secara bertulis atau secara lisan (misalnya melalui perakam suara, dan lain-lain). Ini disebabkan ada setengah-tengah orang tidak pandai menulis tetapi boleh berhujah secara lisan untuk menyampaikan maksudnya. Cuma, kalau boleh, representasi tersebut dibuat secara bertulis. Dalam kes In re Moore,17 mahkamah ada mesyuarat ada menyebut bahawa dalam perbicaraan oleh tribunal (seperti oleh pihak berkuasa tatatertib), peraturan tetap penerimaan keterangan seperti di mahkamah tidak semestinya diikuti. Tribunal tidak terikat untuk menerima keterangan seperti di mahkamah. la boleh menerima keterangan lain seperti pengetahuan peribadi dan luahan, asalkan ia ada nilal yang boleh disahkan.

Dalam kes Nqjar Singh lwn. Kerajaan Malaysia," Hakim Majlis Privy, Viscount Dilhorne, menyebut (dalam kes penjawat awam, tetapi terpakai juga kepada pekerja swasta):

“Yang penting ialah penjawat awam itu diberi peluang sepenuhnya untuk menyatakan kesnya sebelum dia dibuang kerja”.

· Hak Menyoal Saksi Dan Hak Diwakili Oleh Peguam

Persoalan di sini ialah apakah pekerja berkenaan berhak menyoal saksi, dan bolehkah dia diwakili oleh peguam?

Dalam setengah-tengah kes tindakan tatatertib, pihak berkuasa tatatertib akan melantik satu Jawatankuasa Siasatan untuk menjalankan siasatan, apabila pihak berkuasa tatatertib memerlukan penjelasan lanjut tentang kes itu. Dalam kes sebegini, pekerja yang berkenaan akan dikehendaki hadir di hadapan jawatankuasa tersebut. Semasa "perbicaraan" timbul persoalan apakah menjadi satu kemestian bahawa pekerja yang berkenaan berhak menyoal saksi.

Dalam kes V C. Jacob lwn. Peguam Negara Singapura,18 mahkamah telah mengikat dirinya dengan keputusan mahkamah dalam kes 'Byrne lwn. Kinematograph Renters Society Ltd.,20' dan kes De Verteuil lwn. Knaggs,21 dan menyatakan bahawa hak menyoal saksi yang dibawa terhadap seseorang tidak diperlukan oleh keadilan asasi. Bagi tujuan keadilan asasi, yang ditekankan dan yang diperlukan ialah prinsip adil dan tidak berat sebelah. Oleh itu Jawatankuasa Siasatan bukanlah menafikan hak untuk didengari cuma atas alasan ia tidak membenarkan pekerja itu diwakili (jika ia telah berlaku adil).

Persoalan selanjutnya ialah apakah pekerja yang terlibat boleh diwakili oleh peguam semasa dia dipanggil untuk membela diri oleh Jawatankuasa Siasatan. Mahkamah dalam kes Pett lwn Greyhound Racing Association (No. 2),22 menyatakan bahawa dalam hal yang melibatkan reputasi (nama baik) atau kehidupan masa depan seseorang atau perkara yang berat, maka dia boleh diwakili oleh peguam. Walau bagaimanapun, mahkamah dalam kes V. C. Jacob (lihat sebelum ini) yang merujuk dua kes Mahkamah Majlis Privy, ia itu kes Bryne dan kes De Ventueil (lihat di atas), tidak bersetuju dengan pendapat mahkamah dalam kes Pett itu, dan seterusnya menyatakan bahawa keengganan jawatankuasa membenarkan penjawat itu diwakili oleh peguam bukanlah menafikan hak keadilan asasi. Hakim Lord Denning M.R dalam kes Maynard lwn. Osmond,23 ada menyebut bahawa seseorang yang dituduh dengan kesalahan berat berhak diwakili oleh peguam.

Alasan yang diberi tentang mengapa adanya polisi menghadkan seseorang diwakill oleh peguam ialah:

(i) Menurut mahkamah dalam kes Frazer lwn. Mudge,23 kes-kes yang diwakili oleh peguam biasanya lewat diselesaikan;

(ii) Perbicaraan (yang merupakan proses pentadbiran dan bukan perbicaraan di mahkamah) akan menjadi begitu rasmi (formal).

· Hak Diberitahu Keputusan Dan Hak Memberi Alasan Keputusan

Jika pihak berkuasa tatatertib mendapati pekerja itu bersalah dan dikenakan tindakan tatatertib, dia hendaklah diberitahu kerana:

(i) Tindakan tatatertib itu akan berkait dengan perkhidmatannya; dan

(ii) Untuk membolehkan pekerja itu menggunakan haknya membuat rayuan.


Jadi, pada pendapat penulis, jika pihak berkuasa tatatertib memutuskan pekerja itu tidak bersalah dan dia dibebaskan, maka pihak berkuasa tatatertib tidak dimestikan memberitahu keputusan itu kerana:

(i) Keputusan tersebut tidak menjelaskan perkhidmatanya, dan

(11) Pekerja yang berkenaan sudah pasti tidak akan membuat rayuan atas pembebasannya itu.

Persoalan selanjutnya ialah apakah pekerja yang didapati bersalah dan dikenakan tindakan tatatertib itu berhak mengetahui alasan mengapa dia didapati bersalah dan alasan mengapa hukuman yang berkenaan dikenakan?

Dalam kes yang melibatkan urusan pentadbiran (misalnya urusan tatatertib), mahkamah-mahkamah sependapat bahawa alasan tidak perlu diberikan. Dalam kes Breen lwn. Amalgamated Engineering Union," mahkamah menyebut bahawa Jawatankuasa Tatatertib Kesatuan Sekerja tidak perlu memberi alasan mengapa jawatankuasa enggan mengesahkan pemilihan B.

Begitu juga dalam kes R lwn Lembaga Perjudian Great Britain ex parte Benaim dan Khaido,26 mahkamah menyatakan bahawa alasan tidak semestinya diberikan kerana tugas ini, jika diberikan, akan "melemaskan" kuasa budi bicara dan menambahkan beban pentadbiran.

Nampaknya dalam apa kes sekalipun, yang melibatkan keputusan tindakan pentadbiran, alasan keputusan tidak perlu diberi. Ringkasnya, di Malaysia tidak wujud hak diberi alasan.

. Sebagai kajian perbandingan, mengikut kes Siemens Engineering and Manufacturing Company lwn Union of India," di India, hak diberi alasan merupakan hak wajip yang menjadi sebahagian daripada hak asasi. Di England pula, obligasi members alasan ini dikenakan di bawah Akta Tribunal dan Penyiasatan 1958.

· Hak Tidak Dikukum Dua Kali Atas Kesalahan Yang Sama

Dalam kes jenayah, seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga, kecuali jika pembebasan atau sabitan itu telah dibatalkan dan telah diperintahkan diadakan perbicaraan semula oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebaskan atau yang mensabitkan orang itu. Perkara ini diperuntukan dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya ialah:

(i) Bolehkah seseorang pekerja yang telah disabitkan di bawah undang-undang jenayah, dihukum di bawah Peraturan Tatatertib? atau

(ii) Bolehkah seseorang pekerja yang telah dibebaskan oleh mahkamah atas sesuatu pertuduhan jenayah, dihukum di bawah Peraturan Tatatertib?

Kedua-dua persoalan di atas dihuraikan oleh mahkamah dalam kes Mohamed Yusof Samadi lwn Peguam Negara Singapura.28 Fakta kesnya seperti yang berikut:

Y seorang guru. Y telah didakwa di Mahkamah Majlstret atas lima tuduhan di bawah Seksyen 354, Kanun Keseksaan (iaitu menggunakan kekerasan (iaitu menggunakan kekerasan jenayah ke atas empat orang murid perempuan yang menjatuhkan maruah murid-muridnya itu). Di akhir perbicaraan di Mahkamah Majistret itu, Y telah dilepaskan dan dibebaskan. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kemudian telah mengenakan lima tuduhan terhadap Y di bawah Peraturan 4, Peraturan Perkhidmatan Awam (Tindakan Tatatertib) 1970, dengan tujuan buang kerja. Lima tuduhan itu adalah tentang penyalahgunaan kedudukannya sebagai guru dengan melakukan perbuatan menjatuhkan maruah lima orang murid perempuan yang berkenaan. Y telah membantah dan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menjadikan kuasanya di bawah Peraturan II dengan mengenakan tindakan tatatertib Y adalah tidak munasabah dan/atau melampaui atau menyalahgunakan kuasa dan/atau tidak selaras dan/atau melanggar prinsip keadilan asasi dan melanggar Perkara 7(2) Perlembagaan. Juga oleh sebab Y telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret, maka menjadi satu halangan (estoppel) atau res judicata dan tidak selaras bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengenakan tuduhan yang sama dan pernyataan fakta atau menimbulkan sebahagian besar isu yang sama seperti dalam kes yang telah menyebabkan Y dibebaskan.

Perkara 7(2) Perlembagaan memperuntukkan:

“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan itu juga kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintah oleh mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah membebaskannya atau yang mensabitkannya itu”.

Keputusan mahkamah:

Perkara 7(2) Perlembagaan, adalah benteng bagi permohonan pembebasan terdahulu" (autrefois acquit). Frasa "sabitan terdahulu" dan "pembebasan terdahulu" adalah frasa dalam undang-undang jenayah.

Mahkamah kemudian merujuk kes R lwn Elrington.29 Dalam kes ini hakim Besar Cockburn menyebut:

“Kita perlu mengingatkan akan prinsip yang telah lama terpakai dalam undang-undang jenayah iaitu suatu pertuduhan yang bersiri hendaklah tidak diambilkira dan, sama ada orang yang dituduh itu dibebaskan atau dihukum di bawah suatu kesalahan kecil, dia tidak boleh dituduh sekali lagi atas fakta dalam bentuk yang lebih berat”.

Begitu juga dalam kes R lwn Miles30 mahkamah menyebut prinsip bahawa seseorang tidak boleh diletakkan dalam hukuman undang-undang lebih daripada sekali atas pertuduhan yang sama.

Perkataan "kesalahan" dalam Perkara 7(2) Periembagaan tidak ditakrifkan dalam Perlembagaan dan dalam Akta Pentafsiran, 1967. Perkataan "kesalahan" dalam Kanun Keseksaan memberi makna sesuatu perbuatan yang boleh dihukum di bawah kanun atau undang lain.31 Perkataan itu juga ditakrifkan dalam Kanun Acara Jenayah sebagai sebarang perbuatan atau ketinggalan yang boleh dihukum di bawah mana-mana undang-undang (Seksyen 2 Kanun Acara Jenayah).

Perkataan "dibicarakan" dalam Perkara 7(2) Perlembagaan, memberi makna dibicarakan di hadapan hakim mengikut undang-undang negara. Menurut Hakim Chua,32 "Pada pandangan saya, "kesalahan" dalam Perkara 7(2) Perlembagaan bermakna sebarang perbuatan atau ketinggalan yang boleh dihukum di bawah undang-undang. Pertuduhan terhadap di hadapan Jawatankuasa Siasatan adalah salah laku dengan menjatuhkan maruah beberapa murid sebagai asas pertuduhan. Salah laku professional bukan dengan sendirinya kesalahan di bawah undang-undang. Tidak ada prinsip undang-undang yang mencegah seseorang yang dibebaskan atau disabitkan atas sesuatu fakta yang menjadi suatu kesalahan tertakluk kepada fakta yang sama dalam tindakan tatatertib yang diambil oleh tribunal dalaman." Oleh sebab itu, Peraturan II Peraturan Perkhidmatan Awam (Tindakan Tatatertib) 1970, tidaklah ultra vines (melampaui batas kuasa dan menjadi tidak sah) dengan Perkara 7(2) Perlembagaan. Mahkamah dalam kes ini telah merujuk kes R lwn Thomas33 dan menyatakan bahawa yang dilarang oleh undang-undang ialah menghukum dua kali atas kesalahan yang sama. Mahkamah seterusnya menyatakan bahawa Jawatankuasa Tatatertib tidak terikat dengan peruntukan Akta Keterangan dan undang-undang lain yang mengenai keterangan tetapi ia boleh mendapat penerangan atas sebarang perkara yang ia rasa sesuai.

Jawatankuasa Tatatertib bukan mahkamah keadilan tetapi merupakan tribunal dalaman yang dipertanggungjawabkan dengan tugas menylasat perkara yang melibatkan kelakuan pekerja dan menyerahkan laporannya kepada Lembaga Tatatertib. Dalam menjalankan tanggungjawabnya dan kuasanya, Lembaga Tatatertib tidak "menghukum" tetapi cuma menguatkuasakan tatakelakuan professional dan kesopanan yang tinggi (ke atas pekerja). Dengan itu Lembaga Tatatertib tidak bertindak tidak selaras, tidak betul, tidak munasabah atau melanggar keadilan asasi.

Untuk menyokong isu res judicata, hendaklah ditunj'ukkan bahawa isu yang sama telah wujud sebelumnya, yang dikemukakan antara pihak-pihak yang sama yang mendakwa hak yang sama. Dalam kes ini, pengenalan (identiti) pihak-pihak dan isu bukanlah sama Jawatankuasa Tatatertib menyiasat untuk menentukan sama ada Y telah salah laku dan menjadikannya tidak sesuai menjadi guru. Oleh sebab itu isu di hadapan Jawatankuasa Tatatertib tidak sama dengan isu dalam perbicaraan jenayah yang dikenakan terhadap Y.

Keputusan kes di atas telah memberi jawapan "boleh" kepada soalan (i) dan (ii) yang dikemukakan sebelum perbincangan kes ini.

· Hak Merayu

"Rayuan"

Mengikut Mozley and Whiteley's Law Dictionary),34 "rayuan" ditakrifkan sebagai pengaduan seseorang kepada pihak mahkamah yang lebih tinggi kerana sesuatu ketidakadilan yang berlaku dalam mahkamah di bawahnya.

"Rayuan" pekerja dalam kes tatatertib, boleh ditakrifkan sebagai pengaduan pekerja yang berkenaan kerana ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tatatertib, dan pengaduan itu dibuat kepada pihak berkuasa yang telah memutuskan kes pekerja yang berkenaan. Ringkasnya pekerja yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa tatatertib terhadapnya, akan membuat rayuan. Apakah pekerja yang berkenaan berhak merayu?

Mahkamah dalam kes Doresamy lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,33 menyatakan bahawa penjawat awam berhak merayu. Isu yang ditimbulkan ialah di bawah Peraturan Tatatertib, bolehkah seseorang yang terlibat dalam tindakan tatatertib membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan Tatatertib secara bertulis? Dalam kes ini, rayuan telah dibuat oleh D melalui peguamnya dan bukan olehnya sendiri. Lembaga Rayuan Tatatertib telah menolak rayuan tersebut dengan alasan rayuan itu bukan dibuat oleh penjawat awam (D) itu sendirl. Mahkamah telah mengenepikan penolakan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib itu dan menyatakan bahawa penjawat awam yang berkenaan, iaitu D, berhak merayu. Pada pandangan penulis, pekerja di sektor swasta juga berhak merayu.

Apakah yang dirayu?

Jelas bahawa pekerja yang tidak berpuas hati terhadap keputusan tindakan tatatertib ke atasnya boleh merayu. Rayuan boleh dibuat, antara lain, dengan alasan yang berikut:

(i) bahawa hukuman yang telah dikenakan adalah berat dan tidak sewajarnya dengan kesalahan yang dilakukannya;

(ii) bahawa pihak berkuasa tatatertib telah tidak menimbangkan beberapa fakta atau bukti keterangan sebelum menjatuhkan hukuman;

(iii) bahawa acara yang diikuti (seperti tempoh masa, peluang membuat representasi, penyerahan dokumen dan notis pemanggil saksi, adalah salah;

(iv) bahawa wujudnya berat sebelah (bias) semasa perbicaraan tatatertib;

(v) bahawa keputusan yang dibuat adalah salah.

Contoh yang berikut diharap dapat memberikan pemahaman tentang maksud "alasan rayuan”.

(i) pekerja A yang didapati bersalah bertengkar semasa kerja dengan pekerja setarafnya, telah dihukum buang kerja. A merayu atas hukuman ini.

(ii) Pekerja B telah mengemukakan beberapa dokumen perubatan sebagai sokongan tentang kejadian tidak hadir bertugas. Pihak berkuasa tatatertib tidak menimbang dokumen sokongan tersebut. B merayu atas alasan tersebut.

(iii) Pekerja C tidak diberitahu akan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Yang C tahu ialah C telah dikenakan tindakan tahan gaji. C membuat rayuan atas alasan ini.

(iv) Salah seorang ahli berpengaruh pihak berkuasa tatatertib yang mengendalikan kes tatatertib terhadap pekerja D adalah bekas bapa mentua D yang amat membenci D. D merayu atas isu kebarangkalian wujudnya berat sebelah oleh pihak berkuasa tatatertib.

(v) Pihak berkuasa tatatertib telah mengambil keputusan menurunkan pangkat pekerja E kerana E telah mengutus surat cinta kepada Setiausaha Sulit Ketua Jabatan di tempat E bekerja. E merayu atas alasan pihak berkuasa tatatertib telah salah membuat keputusan itu.

Kepada Siapa Merayu?

Majikan hendaklah menubuhkan badan khas bagi mengengar rayuan kes tatatertib. Badan ini dikenall sebagai Jawatankuasa/Lembaga Rayuan Tindakan Tatatertib.36
Ke mana Selepas Itu?

Terdapat keadaan keputusan Lembaga Rayuan Tindakan Tatatertib masih tidak memuaskan hati pekerja yang dikenakan tindakan tatatertib itu, tanpa mengira apa jenis keputusan dan rasa tidak puas hati itu. Ada pekerja yang berpendapat Lembaga Rayuan Tindakan Tatatertib tidak dapat memuaskan haknya atau menjawab persoalan yang dikemukannya. Pekerja ini kadangkala tidak mahu merayu kepada Lembaga Rayuan tersebut. Mereka lebih suka merujuk kes sedemikian ke mahkamah perusahaan. Apa yang penting pekerja itu perlu melalui saluran rayuan di Lembaga Rayuan Tindakan sebelum kesnya dibawa ke mahkamah.


PRINSIP KEDUA-

PRINSIP TIDAK BERAT SEBELAH (BIAS)

Dalam bahasa Latin, ia dikenali juga sebagal nemo judex in causa sua polest atau nemo debet judex in propria sua causa yang bererti seseorang yang ada kepentingan dalam sesuatu kes yang dikendalikannya (iaitu yang diadilinya). Oleh itu dia tidak boleh mengadili kes tersebut.

Sesuatu keputusan yang dibuat hendaklah bebas daripada berat sebelah dan prasangka. Berat sebelah dan prasangka mungkin terjadi kerana dua sebab iaitu:

(i) kerana pihak-pihak ada kepentingan, atau

(ii) pembuat keputusan (iaitu pihak yang mengadili kes) mewakili institusi yang mengingini objektif tertentu ada perhubungan/pertalian tertentu, dan yang seumpamanya.

Berat sebelah kerana pihak-pihak ada kepentingan

Mengikut penulis undang-undang, Geoff Cahil, dalam bukunya, Promotion and Diciplinary Appeals in Government Service" sesuatu pihak dianggap akan berat sebelah jika pihak yang berkenaan ada kepentingan, sama ada kepentingan kewangan atau bukan kewangan.

Dalam kes Leeson lwn General Council of Medical Association and Registration,38 mahkamah menyebut bahawa jika wujud kepentingan kewangan maka tidak perlu lagi menimbangkan persoalan apakah "syak yang munasabah" atau "ada kemungkinan sebenar" akan wujud berat sebelah.

Hakim Blackburn, dalam kes R lwn Hamond,39 memberikan peraturan yang tegas tentang berat sebelah kerana kepentingan kewangan. Mengikut Hakim Blackburn, wujud kepentingan kewangan, walaupun sedikit, sudah memadai untuk mengatakan yang dia berat sebelah. Walau bagaimanapun peraturan tegas ini ada kekecualiannya. Antaranya seperti yang berikut:

(i) Jika kepentingan kewangan itu bukanlah secara peribadi kepada pihak yang membuat keputusan (yang mengadili kes), maka ini tidak mengapa, iaitu tidak dianggap berat sebelah.

Dalam kes R lwn Rand,40 hakim yang mengendalikan kes adalah pemegang amanah bagi sebuah hospital dan Persatuan Persaudaraan. Kedua-dua ini ada tabung yang dilaburkan ke dalam perbadanan yang kesnya dikendalikan oleh hakim yang berkenaan. Ini tidak mengapa, dan hakim itu tidak dianggap akan berat sebelah kerana kepentingan kewangan itu bukanlah peribadi kepada pembuat keputusan ( iaitu hakim yang berkenaan).
(ii) Jika kepentingan kewangan itu terlalu jauh, dia masih boleh dianggap tidak berat sebelah. Misalnya penjawat awam A yang dikenakan tindakan tatatertib adalah pemegang saham 1% daripada jumlah saham Syarikat XYZ. Salah seorang ahli pihak berkuasa tatatertib yang mengendalikan kes A adalah pemegang saham 2% daripada jumlah saham. Syarikat TUV, yang melabur sejumlah 5% daripada saham Syarikat XYZ. Kepentingan ini dianggap sudah jauh. Jadi, jauh atau dekatnya kepentingan kewangan seseorang bergantung kepada fakta kes dan sudah pasti berbeza antara satu kes dengan kes yang lain.

Berat sebelah kerana ada perhubungan atau pertalian

Beberapa kaitan kepentingan tertentu dalam bentuk kepentingan persendirian juga menyebabkan pembuat keputusan hilang kelayakan untuk mengadili sesuatu kes (misalnya kes tatatertib) jika kepentingan itu boleh "menimbulkan syak yang munasabah" atau "ada kemungkinan sebenar" akan wujudnya berat sebelah.

Dalam kes R lwn Sussex Justices; Ex parte Mc Carthy,41 mahkamah menyatakan "ada syak yang munasabah" akan berat sebelah sudah memadai untuk menjadikan orang yang berkenaan tidak layak mengadili sesuatu kes.

Dalam menentukan sama ada perhubungan atau pertalian kepentingan itu boleh "menimbulkan syak yang munasabah" atau "ada kemungkinan sebenar" akan wujud berat sebelah, bergantung kepada fakta setiap kes. Dengan perkataan lain, hubung kait antara perkara yang dibincangkan dengan pembuat keputusan (misalnya ahli lembaga tatatertib) bagi menentukan sama ada akap wujud berat sebelah atau tidak, adalah berbeza antara satu kes dengan kes yang lain.

Contohnya:

(i) Jika ahli pembuat keputusan (pihak berkuasa tatatertib) dan pekerja yang dibicarakan atas tuduhan tatatertib itu mempunyai kaitan atau hubungan kekeluargaan yang agak hampir (misalnya anak dengan ayah, sepupu dan yang seumpamanya), maka ini boleh dianggap akan ada kemungkinan sebenar atau ada syak yang munasabah bahawa ahli pihak berkuasa tatatertib itu akan berat sebelah.

(ii) Jika pihak-pihak (iaitu pekerja yang dibicarakan atas tindakan berkuasa tatatertib dan ahli pihak berkuasa tatatertib) adalah ahli satu pertubuhan yang sama, maka di sini juga ada kemungkinan sebenar atau akan ada syak yang munasabah bahawa wujud berat sebelah di pihak pembuat keputusan.


Artikel ini adalah adaptasi dengan penyesuaian daripada ABDUL AZIZ HUSSIN, 1994 “Undang-Undang Yang Mengenai Tatatertib Penjawat Awam - Hak Tanggungiawab” KL: Dewan Bahasa & Pustaka, m.s. 28 - 56. [Edisi Kedua telah terbit tahun 2002]

1. (1924) 1 KB 256 him. 259.
2. De Smith, 1985, The Constitutional and Administrative Law, Edisi 5, Harry Street dan Rodney Brazier (ed.) Middlesex: Penguin Books Lid, him. 582.
3. (1945) 1 KB 223.
4. A.V. Dicey, 1987. An Introduction to the study of the Law of the Constitution. Edisi Kesepuluh. London: Macmillan Education Ltd. hlm. xxxiii.
5. (1958) 2 All. ER 579; (1958) 1 WLR 762.
6. (1949) 1 All ER 109.
7. (1962) AC 322; (1962) 2 WLR 11 53; (1962) MLJ 169 hlm. 171
8. (1867) 1 AC 13.
9. (1968) AC 391.
10. (1962) AC 297.
11. (1949) 1 Ail E.R. 109 him. 11 8
12. (1918) 1 WLR 137 1.
13. (1974) 1 WLR 1371.
14. (1972) 2 K. B. 233.
15. (1974) Q. B. 624.
16. (1980) A. C. 48.
17. (1965) 1 Q. B. 456.
18. (1876) 1 MLJ 203 hlm. 205.
19. (1970) 2 MLJ 133.
20. (1958) 2 All E.R. 579; (1958) 1 W.L.R. 762.
21. (1918) A.C. 179.
22. (1969) 2 All E.R. 221.
23. (1977) Q. B. 240.
24. (1975) 1 WLR. 1132.
25. (1971) 2 Q.B. 175,
26. (1970) 2 Q.B. 417
27. (1976) AI R 1785 (S.C.)
28. (1975) 1 MLJ 1.
29. 121 E.R. 870
30. (1980) 24 qbd 423.
31. Seksyen 40 Kanun Keseksaan.
32. Kes Mohamad Yusof Samadi lwn Peguam Negara Singapura op. cit. him, 3.
33. (1950) l KB 26.
34. John B. Saunders (ed), 1977. Mozley and Whiteley's Law Dictionary. Edisi Kesembilan. London: Butterworth Company Limited.
35. (1971) 2 MLJ 127.
36. Komposisi Lembaga Tatatertib dan Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah berlainan (dan lebih tinggi dari Lembaga Tatatertib).
37. Geoff Cahil, 1986, Promotion and Diciplinary Appeals in Government Service. North Ryde, New South Wales: The Law Book Company Limited, hlm. 24.
38. (1898) 43 Ch. Di 366.
39. (1863) L.T. (N.S.) 423 hlm. 424.
40. (1866) L.R. I; (1866) Q.B. 230.
41. (1924) 1 K.B. 256 hlm. 259.

Tiada ulasan: