Rabu, Januari 09, 2008

Mahkamah Perindustrian

Mahkamah Perindustrian sudah ditubuhkan pada tahun 1940 di bawah ‘Industrial Court and Court of Inquiry Rules’.1 Malangnya ia tidak dapat berfungsi dengan baik akibat penaklukan dan penjajahan Jepun. Mahkamah Perindustrian pada masa itu adalah suatu badan arbitrari sukarela dan mendengar pertikaian secara ‘ad-hoc’. Antara 1948 dan 1964 hanya 4 kes yang dibicarakan. Sistem arbitrari sukarela tersebut tidak berlangsung lama kerana ia sudah dipinda akibat konfrontasi Malaysia dengan Indonesia. Walau bagaimanapun konsep arbitrari wajib diperkenalkan melalui Akta Perhubungan Perindustrian (APP) 1967 (Akta 177). Bidang kuasa Mahkamah Perindustrian diperuntukkan dalam Akta Perhubungan Perindustrian 1967. Bidang kuasanya khusus membicarakan kes-kes yang berhubung dengan perhubungan majikan dan pekerja, penamatan pekerja, pertikaian perindustrian dan perjanjian kolektif serta semua perkara yang berkaitan dengannya. Takrif Mahkamah Perindustrian disebut dalam seksyen 2 APP sebagai: Mahkamah Perindustrian yang dilantik di bawah Bahagian VII dan termasuklah, melainkan apabila terdapat maksud yang berlawanan, mana-mana Mahkamah di bawah seksyen 22 yang ditubuhkan bagi maksud mengendalikan apa-apa pertikaian perdagangan atau perkara yang dirujukkan kepadanya dan mana-mana bahagian daripadanya.
Komponen Mahkamah

Mahkamah Perindustrian terdiri daripada seorang Presiden Mahkamah, Pengerusi dan suatu panel perwakilan pihak pekerja dan majikan. Menurut seksyen 21(1) APP:
Mahkamah Perindustrian hendaklah terdiri daripada:
. Seorang Presiden yang dilantik oleh Yang di Pertuan Agong.
. Suatu panel yang mewakili majikan.
. Suatu panel yang mewakili pekerja.

Pelantikan panel-panel yang mewakili majikan dan pekerja hendaklah dibuat oleh Menteri dan Menteri adalah diizinkan berunding dengan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili majikan dan pekerja sebagaimana yang difikirkan relevan.2

Sekiranya mana-mana panel tidak hadir atau tidak berupaya untuk terus hadir dalam mana-mana perbicaraan di Mahkamah Perindustrian, Presiden mempunyai kuasa melantik mana-mana ahli daripada panel berkenaan bagi mengisi kekosongan tersebut.3 Seksyen 22(3) APP pula memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh membicarakan apa-apa perbicaraan tanpa mengisi kekosongan ahli yang tidak hadir selepas mendapat kebenaran daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian.

Kelayakan Presiden dan Pengerusi Mahkamah
Presiden atau Pengerusi4 Mahkamah Perindustrian hendaklah mempunyai pengalaman sebagai seorang Peguam bela dan Peguam cara atau seorang ahli Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Persekutuan atau Perkhidmatan Perundangan Negeri.5
Yang di Pertuan Agong boleh melantik orang lain bagi menjalankan tugas dan fungsi Presiden atau Pengerusi semasa ketidakhadiran atau ketidakupayaan Presiden atau Pengerusi tersebut. Orang yang dilantik dibenarkan meneruskan tugasnya bagi maksud menyelesaikan perbicaraan atau perkara yang bermula di hadapannya walaupun Presiden atau Pengerusi sudah menyambung semula tugasnya.6 Menurut seksyen 24 APP orang-orang yang dilantik di bawah seksyen 21 dan 23, hendaklah disifatkan sebagai pengkhidmat awam dan diberi perlindungan serta kekebalan dalam menjalankan tugas.

Prosiding Mahkamah
Prosiding Mahkamah Perindustrian bagi kes pertikaian perindustrian dan pemecatan tanpa sebab adalah berbeza dan seperti berikut:

- Kes Pertikaian Perdagangan/Perindustrian
Akta Perhubungan Perindustrian memperuntukkan bahawa Mahkamah Perindustrian hendaklah terdiri daripada seorang Presiden dan dua orang ahli panel yang dipilih oleh Presiden yang mewakili majikan dan pekerja ketika mengendalikan kes-kes yang berhubung dengan pertikaian perindustrian.7

Kes-kes yang termasuk dalam kategori pertikaian perindustrian/tred berkaitan dengan terma dan syarat perkhidmatan, terma dan syarat dalam perjanjian kolektif dan pertelingkahan antara majikan dengan pekerja seperti mogok, sekat masuk dan piket.

- Kes Pemecatan Tanpa Sebab
Menurut seksyen 23(4) APP, Pengerusi dibenarkan bersidang bersendirian bagi membicarakan kes-kes yang berhubung dengan pemecatan tanpa alasan munasabah. Ini bermaksud keperluan panel yang mewakili majikan dan pekerja adalah tidak perlu bagi mengendalikan kes-kes pemecatan pekerja tanpa sebab munasabah.8

Bidang Kuasa Mahkamah
Seksyen 29 APP menjelaskan semua kuasa yang ada pada Mahkamah Perindustrian. Kuasa-kuasa tersebut meliputi perkara-perkara berikut:

(a) memerintahkan supaya mana-mana pihak disatukan, digantikan atau dibatalkan.
(b) mengarahkan pihak-pihak kepada mana-mana prosiding dan mana-mana orang lain yang pada pendapatnya berkaitan dengan prosiding itu.
(c) mengambil keterangan dan mengarahkan supaya dikemukakan buku, surat, dokumen dan benda-benda di hadapannya.
(d) mendengar dan menentukan perkara tersebut walaupun mana-mana pihak gagal mengemukakan apa-apa pernyataan bertulis dalam tempoh yang ditetapkan oleh Presiden atau ketidakhadiran mana-mana pihak kepada prosiding itu yang sudah disampaikan dengan suatu notis atau saman supaya hadir.
(e) mengendalikan prosiding-prosidingnya atau mana-mana bahagian daripadanya secara persendirian.
(f) selepas berunding dengan Menteri, meminta bantuan daripada seorang atau lebih pakar-pakar.
(g) umumnya mengarahkan dan melakukan semua perkara yang perlu atau suai-manafaat bagi mempercepatkan penentuan perkara itu.

Secara keseluruhannya peruntukan-peruntukan dalam Akta Perhubungan Perindustrian (APP) 1967 menjelaskan bahawa Mahkamah Perindustrian sebenarnya mempunyai bidang kuasa mendengar dan membicarakan semua perkara-perkara yang berhubungan dengan majikan dan pekerja iaitu hak-hak pekerja dan majikan, hal-hal yang berkaitan dengan perjanjian kolektif, pemecatan pekerja dan pertikaian perdagangan walaupun seksyen 30(1) APP secara ringkas memperuntukkan Mahkamah Perindustrian mempunyai kuasa memerintahkan award berhubung dengan pertikaian perdagangan dan pemecatan tanpa sebab sahaja. Peruntukan seksyen 30(1) berbunyi:

Mahkamah mempunyai kuasa yang berhubung dengan suatu pertikaian perdagangan yang dirujukkan kepadanya atau berhubungan dengan rujukan di bawah seksyen 20(3) supaya membuat award (termasuk award interim) yang berhubungan dengan semua atau apa-apa isu itu.

Mahkamah Perindustrian mempunyai bidang kuasa mendengar dan membicarakan kes-kes yang berikut:
Pemecatan Tidak Adil.
- Pertikaian Perindustrian.
- Tafsiran Perjanjian Kolektif dan Award.
- Aduan Berkenaan Pelanggaran Seksyen 4, 5, dan 7 APP.
- Perakuan Perjanjian Kolektif.
- Pelanggaran Perjanjian Kolektif dan Award.

. Pemecatan Tidak Adil
Bahagian VI Akta Perhubungan Perindustrian (APP) 1967 menetapkan prosedur perwakilan ke Mahkamah Perindustrian bagi kes-kes pemecatan tidak adil untuk semua pekerja tanpa mengambil kira pekerja tersebut adalah ahli kesatuan sekerja atau tidak.

Seksyen 20(1A) APP, menetapkan tempoh masa bagi memfailkan perwakilan atau representatif bertulis kepada Ketua Pengarah dalam masa enam puluh (60) hari daripada tarikh pemecatan pekerja daripada perkhidmatannya dengan syarat jika pekerja itu dipecat dengan notis, pekerja itu boleh memfailkan representatif tersebut pada bila-bila masa dalam tempoh itu, tetapi tidak lewat dari enam puluh hari selepas tamat tempoh notis itu.

Sementara itu seksyen 20(3) APP, memperuntukkan bahawa selepas menerima perwakilan daripada Ketua Pengarah, Menteri boleh merujuk perwakilan tersebut kepada Mahkamah Perindustrian bagi mendapatkan award pemecatan salah atau tidak adil.

. Pertikaian Perindustrian
Mahkamah Perindustrian juga mempunyai bidang kuasa mendengar pertikaian perindustrian atas permintaan bertulis pihak-pihak kepada pertikaian iaitu kesatuan sekerja pekerja dan kesatuan sekerja majikan melalui Menteri.9 Seksyen 26(1) memperuntukkan bahawa:

Jika sesuatu pertikaian perindustrian wujud atau dijangkakan, Menteri boleh, jika pertikaian itu tidak dapat diselesaikan, merujuk pertikaian itu kepada mahkamah atas permintaan bersama secara bertulis kepada Menteri oleh kesatuan sekerja pekerja-pekerja yang merupakan pihak kepada pertikaian itu dan majikan yang merupakan pihak kepada pertikaian itu atau kesatuan sekerja majikan-majikan yang merupakan pihak kepada pertikaian itu.

Sementara itu seksyen 26(2) APP, juga mengenakan syarat bahawa sekiranya aduan pertikaian perdagangan tersebut adalah daripada mana-mana perkhidmatan kerajaan atau badan-badan berkanun, persetujuan daripada Yang di Pertuan Agong atau Pihak Berkuasa Negeri mestilah diperoleh terlebih dahulu.

. Tafsiran Perjanjian Kolektif dan Award
Seksyen 33(1) APP memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang terikat dengan award atau perjanjian boleh memohon kepada mahkamah supaya memutuskan tafsiran atau perubahan kepada mana-mana award atau perjanjian kolektif. Mahkamah juga boleh membuat perintah bagi mengubah mana-mana terma dalam award atau perjanjian kolektif supaya ketidaktentuan makna tidak berlaku.

Dalam kes The Emperor Hotel Sdn. Bhd., Melaka lawan Magaindiran S.R. Sundram [1998] 3 ILR 228, satu permohonan dibuat di bawah seksyen 33 APP supaya award mahkamah termasuk bayaran servis, gaji, kenaikan tahunan dan bonus seperti yang diterima oleh pemohon semasa dalam perkhidmatan dengan majikannya. Dalam kes ini mahkamah memutuskan variasi bagi award terdahulu patut dibuat iaitu award mahkamah mestilah termasuk bayaran servis, gaji, kenaikan tahunan dan bonus. Mahkamah dalam kes itu merujuk pada beberapa kes lain termasuk kes Han Chiang High School/Penang Han Chiang Associated Chinese Schools Association lawan National Union of Teachers in Independent School [1990] 1 ILR 455.

. Aduan Pelanggaran Seksyen 4, 5 dan 7 APP 1967
Seksyen 8 APP memperuntukkan bahawa aduan berhubung dengan pelanggaran seksyen 4, 5 dan 7 APP boleh dikemukakan kepada Ketua Pengarah di mana ia kemudiannya akan dirujuk kepada Menteri. Sekiranya aduan tersebut masih tidak dapat diselesaikan, aduan itu akan dirujuk kepada Mahkamah Perindustrian untuk perbicaraan.

Secara ringkasnya seksyen 4 APP meliputi hak-hak majikan dan pekerja berhubung dengan penubuhan, penyertaan, pentadbiran kesatuan sekerja. Seksyen 5 pula meletakkan larangan terhadap majikan dan kesatuan sekerja mereka, berkenaan tindakan-tindakan tertentu berhubung dengan kesatuan sekerja. Larangan juga dikenakan terhadap pekerja dan kesatuan mereka berkenaan tindakan-tindakan tertentu dalam kesatuan sekerja.11

. Perakuan Perjanjian Kolektif
Menurut seksyen 16(1) APP, perjanjian kolektif hendaklah diserahkan kepada Mahkamah Perindustrian melalui Pendaftar Mahkamah bagi mendapatkan pengiktirafan. Mahkamah mempunyai kuasa untuk tidak memberi perakuan sekiranya perjanjian kolektif tidak mematuhi prosedur menurut undang-undang. Mahkamah juga mempunyai kuasa bicara memberi perakuan dengan syarat
perjanjian kolektif tersebut hendaklah dipinda sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.

Perjanjian kolektif yang sudah diberi pengiktirafan oleh mahkamah mengikat kesemua pihak dalam perjanjian tersebut dan kesemua pekerja yang bekerja atau kemudiannya diambil bekerja dalam pengusahaan atau sebahagian daripada pengusahaan di mana perjanjian itu berkaitan. Di samping itu, perjanjian kolektif juga akan menjadi syarat tersirat kontrak perkhidmatan antara pekerja dengan majikan melainkan dipinda oleh perjanjian terkemudian atau keputusan oleh Mahkamah Perindustrian.12

. Pelanggaran Perjanjian Kolektif dan Award
Seksyen 56(1) APP memperuntukkan bahawa Mahkamah Perindustrian juga mempunyai kuasa mendengar aduan-aduan yang dibuat secara bertulis berkenaan pelanggaran perjanjian kolektif atau award oleh mana-mana pihak yang terikat dengan perjanjian atau award tersebut.13 Menurut seksyen 56(2) APP, mahkamah mempunyai kuasa membuat perintah berhubung dengan pelanggaran perjanjian kolektif dan award seperti berikut:
(a) Supaya mana-mana syarat perjanjian kolektif atau award dipatuhi.
(b) Supaya berhenti atau tidak melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan syarat dalam perjanjian kolektif atau award.
(c) Membuat perintah yang sesuai bagi membetulkan apa-apa pelanggaran berkaitan mana-mana syarat dalam perjanjian kolektif atau award.
(d) Membuat perintah yang difikirkan sesuai bagi meminda atau membatalkan mana-mana syarat perjanjian kolektif atau award di bawah keadaan-keadaan khas.

. Award
Seksyen 30(3) APP, memperuntukkan bahawa Mahkamah Perindustrian hendaklah memutuskan award secepat mungkin dan sekiranya praktis dalam masa tiga puluh hari daripada tarikh rujukan perkara ke mahkamah. Seksyen 2 APP mentafsirkan award sebagai:

Suatu award yang dibuat oleh mahkamah berkenaan apa-apa pertikaian perdagangan atau perkara yang dirujukkan kepadanya atau apa-apa keputusan atau perintah yang dibuat olehnya di bawah Akta Perhubungan Perindustrian.

Keputusan Mahkamah pula hendaklah dibuat sebulat suara melalui keanggotaannya.14 Keputusan majoriti hendaklah terpakai sekiranya tiada keputusan sebulat suara dan jika tiada keputusan majoriti, keputusan hendaklah daripada Presiden atau Pengerusi. Menurut seksyen 30(4) APP, ketika membuat award Mahkamah Perindustrian hendaklah memberi perhatian terhadap kepentingan awam, implikasi kewangan dan kesan award terhadap ekonomi negara dan industri berkenaan serta industri lain yang ada hubungan atau sama dengannya.

Mahkamah Perindustrian juga bersikap prihatin kerana ia hendaklah bertindak mengikuti ekuiti, perasaan hati yang baik dan merit kes tanpa memikirkan perkara teknikal serta berbentuk undang-undang.15 Dalam kes Kesatuan Pekerja-pekerja Perkayuan lawan Syarikat Jengka Sdn. Bhd.16 Mahkamah Rayuan menyatakan dalam mentafsirkan perjanjian kolektif, kaedah-kaedah normal berhubung dengan penentuan niat kedua-dua pihak yang terlibat tidak boleh digunakan kerana Mahkamah Perindustrian hendaklah bertindak mengikuti ekuiti, perasaan hati yang baik dan merit kes tanpa memikirkan perkara teknikal serta berbentuk undang-undangSelain daripada itu seksyen 30(5A) APP memperuntukkan bahawa:

Dalam membuat awardnya, mahkamah boleh menimbangkan apa-apa perjanjian atau kanun yang berkaitan dengan amalan-amalan pekerjaan di antara pertubuhan-pertubuhan yang mewakili majikan dan pekerja mengikut susunan masing-masing jika perjanjian atau kanun tersebut telah diluluskan oleh Menteri.

Menurut seksyen 30(6) APP, Mahkamah Perindustrian dalam membuat awardnya tidak boleh menyekat relif spesifik atau permintaan-permintaan yang dituntut oleh kedua pihak-pihak tetapi boleh memasukkan di dalam award itu apa-apa perkara atau benda yang difikirkan perlu atau suai-manfaat bagi maksud menyelesaikan pertikaian perdagangan atau rujukan kepadanya di bawah seksyen 20(3) APP.

. Kesan Award
Menurut seksyen 32(1) APP award yang diputuskan oleh Mahkamah Perindustrian mengikat pihak-pihak yang berikut:
(a) semua pihak kepada pertikaian atau rujukan kepada mahkamah menurut seksyen 20(3) APP yang hadir atau diwakili di mahkamah dan semua pihak yang disatukan atau diganti atau diarah supaya hadir atau diwakili di mahkamah, semua pekerja yang bekerja atau kemudiannya bekerja dalam pengusahaan atau sebahagian daripada pengusahaan yang berhubung kait dengan pertikaian.
(b) semua ahli dalam kesatuan sekerja majikan yang berhubung kait dengan pertikaian dan kesatuan sekerja yang merupakan pihak dan pengganti-pengganti, pemegang-pemegang serah hak dan penerima-penerima pindahan bagi ahli-ahli tersebut.
(c) mana-mana pengganti, pemegang serah hak atau penerima pindahan bagi mana-mana majikan atau kesatuan sekerja majikan dan mana-mana pengganti kepada kesatuan sekerja pekerja.

Mana-mana award yang diputuskan oleh Mahkamah adalah menjadi terma tersirat kontrak antara majikan dengan pekerja berkenaan kadar upah dan syarat-syarat pekerjaan sehingga ia dipinda oleh award yang berikut atau perjanjian antara mereka bermula daripada tarikh award itu atau daripada suatu tarikh itu dan bagi tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam award itu.17

Mahkamah juga boleh menetapkan tempoh sesuatu award patut berkuat kuasa tetapi sekiranya ia memutuskan bahawa mana-mana award berkuat kuasa kebelakangan maka peruntukan seksyen 30(7) APP hendaklah dipatuhi. Seksyen 30(7) menyebut:

Sesuatu award boleh menyatakan tempoh di mana ianya hendaklah terus berkuat kuasa, dan boleh kebelakangan kepada suatu tarikh sebagaimana yang dinyatakan dalam award:

Dengan syarat bahawa tarikh kebelakangan award itu tidak boleh, kecuali dalam hal suatu keputusan mahkamah di bawah seksyen 33 atau suatu perintah mahkamah di bawah seksyen 56(2)(c) atau suatu award mahkamah bagi mengembalikan semula seorang pekerja atas suatu rujukan kepadanya berkenaan dengan pemecatan seorang pekerja, lebih awal dari enam bulan daripada tarikh di mana pertikaian itu dirujukkan ke mahkamah.

Mahkamah juga mempunyai kuasa membetulkan apa-apa kekhilafan berkenaan dengan kesilapan tulisan yang timbul daripada apa-apa ketinggalan yang tidak disengajakan dalam mana-mana award yang sudah diputuskan olehnya.

Semua award yang diputuskan oleh Mahkamah Per-industrian hendaklah ditandatangani oleh Presiden atau Pengerusi, sekiranya Presiden atau Pengerusi tidak berupaya menandatangani, maka ahli-ahli lain dibenarkan me-nandatangani award tersebut.

Rayuan Ke Mahkamah Tinggi
Seksyen 33B APP, memperuntukkan bahawa tertakluk kepada APP dan seksyen 33A, mana-mana award, perintah atau keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Perindustrian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, diketepikan atau dipersoalkan di mana-mana Mahkamah. Namun begitu, menurut keputusan kes Tan Hong Yak lawan Nixdorf Computer (M) Sdn. Bhd.20 keputusan Mahkamah Perindustrian masih boleh dicabar jika awardnya dibuat tidak menurut bidang kuasanya.

Walau bagaimanapun, seksyen 33A APP masih membenarkan permohonan oleh mana-mana pihak kepada perbicaraan berkenaan persoalan undang-undang sahaja ke Mahkamah Tinggi. Menurut seksyen 33A rujukan kepada Mahkamah Tinggi boleh dibuat berkenaan dengan persoalan undang-undang:-
(a) Yang timbul dalam prosiding.
(b) Di mana penentuan oleh Mahkamah memberi kesan kepada award.
(c) Apabila pada pendapat Mahkamah adalah amat penting sebagai rujukan.
(d) Di mana pada pendapat Mahkamah ada keraguan yang cukup sebagai rujukan.

Sebarang permohonan rujukan persoalan undang-undang hendaklah dibuat dalam masa tiga puluh hari21 daripada tarikh award Mahkamah Perindustrian. Seksyen 33A(7) menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai kesan sama seperti award di bawah seksyen 32 APP, di mana keputusan itu adalah terakhir dan muktamad serta tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, diketepikan atau dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah lain atau di hadapan mana-mana pihak berkuasa, kehakiman atau sebagainya.

Kesimpulan
Mahkamah Perindustrian berbeza daripada mahkamah-mahkamah biasa yang lain. Mahkamah Perindustrian ditubuhkan khusus bagi mendengar pertikaian yang melibatkan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan kesatuan majikan. Pendekatan Mahkamah Perindustrian juga berbeza daripada mahkamah biasa kerana ia bertindak mengikut ekuiti, perasaan hati yang baik dan merit kes yang substantial tanpa memikirkan kepada perkara-perkara teknikal dan berbentuk undang-undang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa risiko yang bakal sesebuah perjanjian kolektif sebenarnya hadapi jika ia dirujuk ke mahkamah perusahaan. - basir SU NUJ Utusan Melayu. 019-2302505

Tanpa Nama berkata...

Tuan-tuan,

RE: Pemecatan yang tidak adil
Merujuk kepada perkara di atas, saya ingin tahu sama ada permecatan tersebut adalah tidak adil dan apa tindakan yang patut diambil.

Saya merupakan seorang pemasak, dan telah mula bekerja di sebuah hotel sejak 25hb NOV pad tahun yang lepas. Pihak majikan tidak pernah mengemukakan sebarang dokumen seperti surat tawaran kepada saya dan hanya mengarah saya bekerja selama 12 jam tiap-tiap hari secara lisan sahaja. (4 hari cuti sebulan)

Namun demikian, sebenarnya says selalu kena bekerja lebih kurang 14 jam dan langsung tidak dapat O.T. (Overtime). Di samping itu, Pihak majikan tidak bayar gaji saya pada masa yang ditetapkan yang tidak patut melebihi 7hb setiap bulan . Pada bulan ini (Mar) juga sehingga hari ini (14hb Mar 2012) barulah saya dapat gaji saya dan pada masa yang sama, saya diberitahu oleh pihak tersebut, mereka akan minta saya meletak jawatan serta-merta. Saya berasa pemintaan tersebut tidak munasabah.

Walaupun mereka tiadk pernah beri surat tawaran dan pengesahan kepada saya, tetapi saya berasa keadaan-keadaan tersebut adalah sangat tidak adil kepada saya. Saya berharap tuan-tuan akan memberi nasihat kepada saya secepat mungklin.

Terima kasih



Yang Benar,
STEVE