TUNTUTAN KAUM PEKERJA DAN PERGERAKAN KESATUAN SEKERJA
PERUNTUKAN JAMINAN SOSIAL YANG KOMPREHENSIF Bilangan besar pengundi adalah pekerja. Pekerja adalah merupakan tulang belakang kepada ekonomi dan mereka jugalah yang mencari rezeki untuk menyara keluarganya. Mereka perlu diberi perlindungan dan dijaga dengan sewajarnya. Mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada penyusunan semula perniagaan, pusingan turun-naik perniagaan dan kecanggihan teknologi. Pembangunan hendaklah berorientasikan untuk keperluan rakyat dan tidak dalam bentuk apa yang dipanggil Projek ‘Mega’. Negara membangun adalah diukur melalui taraf hidup penduduk-penduduknya dan jaminan sosial maka perlindungan mestilah diberikan untuk meningkatkan nilai hidup insan agar ia menjadi kebanggaan negara. Oleh yang demikian, kami menyeru agar satu reformasi yang komprehensif terhadap skim di bawah Akta Keselamatan Sosial dan Akta KWSP dilakukan, bagi:- (a) Memperuntukan bayaran penuh kepada pekerja yang bermasalah dengan hilang upaya sementara atau kekal yang tidak dapat berkerja; (b) Mengadakan perlindungan 24 jam terhadap kemalangan; (c) Mengadakan dividen minimum 8% setahun bagi simpanan KWSP; (d) Mengadakan pinjaman perumahan bagi yang berpendapatan rendah dengan kadar faedah yang rendah; (e) Mengadakan Faedah pembuangan kerja yang ditetapkan oleh Undang-Undang dan bantuan kerana tidak berkerja. Untuk memaksimumkan keupayaan Tabung Keselamatan Sosial dan KWSP, kami mencadangkan agar kedua-dua tabung tersebut digabungkan. Keuntungan yang diperolehi dari penggabungan ini mestilah digunakan hanya oleh pencarum dan tidak untuk digunakan bagi menyelamatkan Syarikat-Syarikat perniagaan. Di dalam hubungan ini, pemerintah perlu bertanggungjawab untuk membuat pindaan terhadap kedua-dua Undang-Undang Sosial di atas untuk menentukan bahawa pentadbirannya yang telus dan melantik Lembaga Pengarah dan panel pelaburan yang terdiri dari sesetengah wakil pekerja yang bertanggungjawab terhadap pencarum. Skim tersebut sepatutnya melindungi semua pekerja termasuk pekerja dari sektor awam tanpa mengira jumlah upah mereka. Pencen bagi pekerja-pekerja di sektor awam pula perlu dikira berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan yang penuh mereka. JAMINAN UNTUK MENINGKATKAN KUALITI HIDUP Walaupun lonjakan berlaku di dalam pertumbuhan ekonomi, taraf kehidupan pekerja tidak selaras dengan kemajuan ekonomi. Pekerja-pekerja terpaksa melakukan kerja lebih masa dan terpaksa menjalankan kerja-kerja lain bagi menampung keperluannya. Majikan pula meraih keuntungan yang besar tetapi pekerja jarang memperolehi penghargaan diatas kerja kerasnya sehingga kehidupan mereka terjejas dan anak-anak mereka terabai. Pekerja-pekerja mahukan pengagihan keuntungan yang lebih adil dan pembahagian masa yang sesuai dengan keluarga mereka. Untuk meningkatkan kualiti hidup pekerja di dalam sektor awam dan swasta, langkah-langkah berikut perlu diambil untuk menentukan bahawa:- (a) Gaji pokok minimum sebulan pada jumlah RM900.00 hendaklah digunapakai untuk semua pekerja termasuk pekerja-pekerja dalam sektor perladangan; (b) Kerja 5 hari seminggu dengan jumlah jam kerja 40 jam seminggu; (c) Cuti bersalin mandatori 90 hari dan 14 hari cuti untuk bapa; (d) Pusat Asuhan Kanak-Kanak disediakan di tempat kerja; (e) Semua bentuk gangguan seksual hendaklah dihapuskan dan layanan samarata diberikan kepada pekerja lelaki dan perempuan; (f) Membina rumah-rumah kediaman dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air yang mampu dibeli oleh pekerja dengan segala keperluan asas yang lengkap disediakan seperti kemudahan jalanraya, bekalan air, bekalan letrik dan kenderaan awam; (g) Pendidikan dan Kesihatan hendaklah tidak diswastakan dan ianya kekal dibiayai melalui hasil negara; (h) Kaji semula langkah penswastaan beberapa agensi awam yang tidak memberi manfaat kepada pengguna dan pekerja. (i) Membekukan pengambilan pekerja asing sehingga satu kajian yang menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti situasi pekerjaan, keperluan dan kehendak pekerja asing. HAK BAGI MENDAPATKAN PERLINDUNGAN MELALUI UNDANG-UNDANG DENGAN SEGERA Jentera bagi menyelesaikan pertikaian perusahaan adalah amat perlu bagi meningkatkan dan mengekalkan keharmonian di dalam Industri. Maka adalah mustahak bahawa mekanisme rundingan damai diperkemaskan agar ianya tidak berat sebelah, lebih profesional dan pantas dalam penyelesaianya. Kami menyeru agar kajian semula dibuat terhadap sistem timbangtara termasuk mekanisme untuk mempercepatkan proses yang melibatkan buruh dan perhubungan perusahaan. Kami menyeru agar:- (a) Sistem yang sedia ada dalam melantik Presiden dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan digantikan terma kontrak kepada taraf tetap. (b) Mahkamah Buruh hendaklah dipinda guna mengasingkan proses timbang-tara/rundingan dan pendakwaan supaya ianya tidak dilakukan oleh pegawai yang sama. (c) Membenarkan seseorang yang menghadapi pertikaian perusahaan diberi peluang untuk menyuarakan ketidakpuasan beliau melalui saluran sah yang lain jika sekiranya kes pembuangan kerja mereka tidak dirujuk ke Mahkamah Perusahaan oleh Menteri Sumber Manusia; (d) Pengiktirafan kesatuan sekerja hendaklah diberikan secara automatik bagi mengelakkan tindakan union-busting oleh sesetengah majikan yang anti kesatuan. Pengiktirafan ini adalah selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Negara yang menjamin hak pekerja untuk menganggotai kesatuan secara bebas/sukarela. KOMITMEN TERHADAP TRIPATISME Tripatisme adalah merupakan mekanisme yang penting di dalam mengekalkan keharmonian perusahaan. Ia adalah penting dalam pembangunan dan pertumbuhan sistem perhubungan perusahaan yang diatur sendiri, khususnya dan masyarakat madani amnya. Tripartisme mengiktiraf buruh dan pemodal sebagai rakan kongsi sosial yang mempunyai matlamat bersama dalam hal ekonomi dan pembangunan sosial demi kepentingan rakyat dan negara. Adalah dicadangkan supaya nama Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan ditukar kepada Majlis Buruh Kebangsaan dengan dipertanggungjawabkan keatas perkara perkara yang berkaitan dengan buruh dan perhubungan perusahaan dengan semua keputusan dibuat secara konsensus dan diterima pakai. Anggota Majlis hendaklah dilantik oleh kesatuan yang mewakili pekerja dan majikan masing-masing tanpa sebarang campurtangan oleh mana-mana pihak. MEMPERTINGKATKAN KELUHURAN UNDANG-UNDANG, KEADILAN DAN DEMOKRASI Keadilan dan demokrasi adalah merupakan asas penting dalam hal pengagihan kekayaan negara dan pembangunan budaya politik, yang mana ianya meningkatkan kestabilan dan keharmonian. Tanpa satu sistem yang mengawal dan memeriksa ke atas mereka yang dipertanggungjawabkan maka para pemimpin akan menyebarkan barah korupsi ke dalam kancah masyarakat dan sedikit demi sedikit menghancurkan masyarakat itu sendiri. Pekerja-Pekerja percaya bahawa untuk negara maju ke hadapan, demokrasi hendaklah diperkuatkan. Ini termasuklah:- (a) Memperkenalkan sistem pemilihan yang bebas dan adil di setiap peringkat termasuk Majlis Tempatan, Daerah, Bandaraya dan Senat; (b) Memansuhkan semua undang-undang yang menindas rakyat seperti ISA, OSA, Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Universiti dan Universiti Kolej dan Akta Cetak dan Penerbitan; (c) Kes-kes pembuangan kerja yang tidak diselesaikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan hendaklah dirujuk secara automatik ke Mahkamah Perusahaan tanpa perlu kelulusan Menteri. (d) Pertanggungjawaban bagi penggunaan wang awam dan telus dalam perlaksanaan polisi awam; (e) Mengembalikan kebebasan ke atas Institusi Kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya dan Pejabat Peguam Negara.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan