PERLEMBAGAAN negara ini memberi hak kepada rakyat untuk menubuhkan persatuan. Ini bermakna para pekerja dan majikan di negara ini adalah bebas menubuhkan kesatuan sekerja untuk kepentingan mereka.
Malah kerajaan menggalakkan penubuhan dan pergerakan kesatuan sekerja yang sihat, bertanggungjawab dan demokratik.
Mereka perlu jujur dalam melaksanakan perhubungan perusahaan, memperbaiki terma dan meningkatkan lagi taraf ekonomi dan sosial bagi meningkatkan lagi daya pengeluaran sesebuah syarikat atau industri.
Kesatuan sekerja perlu memainkan peranan positif dalam mewujudkan suasana yang baik dan harmoni bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi negara. Kesatuan sekerja harus benar-benar memberi manfaat kepada para ahli, pekerja dan negara am, bukannya kesatuan sekerja yang diperalatkan oleh golongan tertentu untuk kepentingan mereka.
Dalam usaha ini, prinsip yang berteraskan demokrasi perlu terus diamalkan oleh kesatuan sekerja di mana keputusan secara koleksi hendaklah dibuat oleh majlis eksekutif dan tidak hanya segelintir pegawai-pegawainya sahaja. Pegawai-pegawai sekerja perlu bersatu padu agar apa jua aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan dapat dijalankan dan memberi manfaat kepada para ahli.
Sekiranya pegawai-pegawai kesatuan sekerja bertelagah dan berebut kuasa sesama sendiri secara tidak demokratik, kesatuan sekerja itu akan berpecah-belah dan merugikan ahli-ahlinya.
Ini merupakan satu trend yang kurang sihat di mana rekod aduan yang diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) berhubung dengan pemilihan pegawai-pegawai kesatuan sekerja bertambah setiap tahun.
Penulis begitu tertarik tentang krisis kepimpinan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang telah bermula pada tahun 2001 dan berlarutan lebih tiga tahun. Krisis ini memberi kesan yang tidak baik kepada NUBE dan juga 28,000 ahlinya.
Segala usaha telah dijalankan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia bagi menyelesaikan krisis ini tetapi belum berhasil kerana melibatkan kesan-kesan perundangan memandangkan terdapat beberapa kes yang belum selesai di mahkamah.
Sesungguhnya, undang-undang atau akta mengenai mengharmonikan keadaan atau pertikaian perlu disemak dan dikaji, mungkin pengurus kesatuan kerja patut diberi kuasa untuk menyelesaikannya.
Bagi merealisasikan perjalanan pengurusan kesatuan sekerja yang mapan, para pegawai yang menjalankan pentadbiran kesatuan perlu menentukan hala tuju pergerakan sesebuah kesatuan sekerja itu.
Justeru, sama ada kesatuan sekerja itu boleh bergerak dengan efektif atau tidak, terletak di tangan mereka. Pegawai-pegawai kesatuan yang telah dipilih untuk menerajui pentadbiran kesatuan telah diberikan tanggungjawab besar oleh ahli masing-masing.
Perjalanan sesebuah kesatuan pula, jangan terpesong daripada matlamat penubuhannya di mana perhubungan perusahaan yang harmoni antara pekerja dengan majikan perlu dikekalkan. Kerjasama dan penyelesaian segala masalah melalui rundingan harus dijadikan amalan.
Perlu disebut, perhubungan perusahaan yang harmoni adalah satu-satu elemen asas yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Semasa negara menghadapi era pertumbuhan industri dan persaingan global, kesatuan sekerja dan majikan wajar mengelak berlakunya perbalahan (yang hanya membawa kerugian kepada kedua-dua pihak).
Sebaliknya, kesatuan sekerja dan majikan wajar sama-sama memupuk, mengekalkan dan meningkatkan keharmonian perhubungan perusahaan. Di samping itu, kerjasama erat antara kedua-dua pihak perlu dipertingkatkan. Contohnya, masalah mengenai gaji, terma-terma penggajian dan syarat-syarat pekerjaan wajar diselesaikan melalui proses perundingan dan musyawarah.
Sehubungan itu, kesatuan sekerja harus memberi pandangan membina kepada majikan mengenai perkara-perkara berkenaan. Pandangan wajar diberi secara sopan, teratur dan mengikut saluran serta tatasusila budaya negara.
Kesatuan sekerja perlu mengelak daripada menggunakan cara agresif dan berkonfrontasi yang hanya akan menjurus kepada ketegangan perhubungan dengan majikan.
Perhubungan yang tegang tidak akan membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak.
Kesatuan sekerja dan majikan perlu berganding bahu dan menggemblengkan tenaga bagi meningkatkan pertumbuhan industri dan daya saing negara demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
Jika hubungan yang kurang baik wujud di antara pihak pekerja dan majikan, ia akan menyukarkan lagi usaha kerajaan untuk mewujudkan hubungan yang harmoni dalam perhubungan perusahaan negara amnya. Bila ini berlaku, tiada pihak yang akan untung. Kita bersyukur kerana kita tidak mudah terpengaruh dengan cara orang asing yang suka berkonfrontasi untuk menyelesaikan masalah pekerja.
Prestasi ekonomi sesebuah negara tersebut akan merosot, jika tindakan perusahaan berlaku secara berterusan. Kesannya akan meningkatkan peratusan pengangguran, penutupan banyak syarikat dan mungkin penjualan syarikat kepada orang asing.
Fenomena globalisasi akan memberi kesan kepada aspek perburuhan di merata dunia, termasuk negara kita. Dasar liberalisasi ekonomi bertujuan untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan perdagangan dunia dan pengaliran pelaburan.
Pada masa yang sama akan menghasilkan pemberhentian kerja pada peringkat peralihan. Ini kerana kehilangan pekerjaan di industri-industri yang kurang berdaya saing akan berlaku secara mendadak, manakala perwujudan pekerjaan di industri-industri baru yang berdaya saing mungkin terbuntu disebabkan kekurangan dana pelaburan dan kekurangan tenaga kerja mahir.
Selain itu, penampilan pasaran global akan menyebabkan banyak negara menawarkan harga rendah bagi tenaga kerja mereka. Senario ini akan menghasilkan penurunan gaji dan standard perburuhan di merata dunia. Persaingan hebat ini akan memberi kesan yang negatif ke atas gaji dan syarat-syarat pekerjaan.
Kita bersaing dengan jiran dan negara-negara lain. Jika kita tidak kompetitif maka perniagaan kita akan rugi dan kita tidak akan mendapat upah yang meningkat, bahkan mungkin kehilangan pekerjaan. Pelabur asing dan pelabur tempatan juga tidak akan berminat melabur di negara ini.
Satu aspek penting yang perlu ditekankan ialah pengurusan kewangan. Pengurusan kewangan adalah kunci hikmah kepada sesebuah organisasi kerana pengurusan kewangan yang baik akan dapat menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Justeru, aspek kewangan dan harta kesatuan wajar diurus dengan penuh rasa tanggungjawab dan akauntabiliti.
Salah satu sifat yang perlu ada pada mereka yang menguruskan kewangan ialah amanah. Pemimpin kesatuan tidak boleh menggunakan kesatuan untuk mendapat keuntungan atau faedah peribadi.
Kesatuan sekerja yang bertanggungjawab ialah kesatuan sekerja yang menguruskan wang dan hartanya dengan penuh integriti dan akauntabiliti.
Dalam perkataan lain, pengurusan kewangannya disempurnakan dengan amanah. Kesatuan sekerja seharusnya memberi keutamaan kepada usaha-usaha memelihara dan memajukan kepentingan serta kebajikan ahli-ahlinya. Ini kerana pada kebiasaannya, ahli-ahli akan bertanya apakah manfaat dan faedah yang dapat diberi oleh kesatuan sekerja yang dianggotai oleh mereka.
Sekiranya mereka tidak mendapat apa-apa manfaat dan faedah daripadanya, mereka tidak akan memberi sokongan serta kerjasama kepada kesatuan sekerja berkenaan. Tanpa sokongan serta kerjasama ahli-ahlinya, kesatuan sekerja tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan. Justeru, para pegawai kesatuan sekerja harus memastikan kesatuan berfungsi secara sihat, demokratik dan bertanggungjawab.
Dalam pembangunan sumber manusia pula, kerajaan menekankan konsep `Pembelajaran Sepanjang Hayat’. Menimba ilmu pengetahuan dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran kini menjadi satu kemestian sekiranya pegawai kesatuan ingin menjadi pegawai yang kompeten. Pegawai-pegawai kesatuan sekerja yang berilmu dan berdaya saing mampu menggerakkan kesatuan sekerja yang dipimpinnya dan memacu ke arah peningkatan produktiviti di kalangan ahlinya.
Proses pembelajaran yang berterusan ini memberi nilai tambah tersendiri dalam pentadbiran kesatuan sekerja.
Dalam hubungan ini, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk mewujudkan `geran’ bagi meningkat aktiviti pendidikan kepada para ahli dan pegawai-pegawai kesatuan sekerja. Diharap usaha murni jabatan ini akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi.
Dengan wujudnya program pembangunan sumber manusia seumpama ini, ia akan menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti negara hasil daripada sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran.
Diharap pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja di Malaysia menjadi pemimpin yang berwibawa dan berkualiti ke arah kesatuan sekerja mapan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pekerja cemerlang negara gemilang.
* DATUK ABDUL RAHMAN BAKAR ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Dipetik dari Utusan Malaysia Online
Khamis, Disember 27, 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
bolehkan anda terangkan mengenai " the development of trade union and its contribution to industrial relation"....juga contoh bagi menyokong berkenaan soalan tersebut... saya ingin mengetahuinya secara lebih lanjut....
mieyz.... kl...
bolehkan anda terangkan mengenai " the development of trade union and its contribution to industrial relation"....juga contoh bagi menyokong berkenaan soalan tersebut... saya ingin mengetahuinya secara lebih lanjut....
mieyz.... kl...
Catat Ulasan