Khamis, Disember 27, 2007

Pekerja berhak dapat pampasan

Soalan
Saya bekerja di sebuah universiti tempatan. Selama lima tahun bekerja, saya tidak pernah ada masalah dengan majikan. Apabila bahagian saya diambil alih pengurus baru, saya diberi notis sebulan untuk berhenti kerja tanpa sebarang alasan. Apabila saya tanya kenapa saya dibuang kerja, dia menjawab sebagai pengurus dia berhak berbuat begitu.

Saya sudah berumur 40 tahun, sukar untuk saya mendapatkan kerja baru. Hal saya dibuang kerja memberi tamparan hebat kepada keluarga saya dan kami kini mengalami masalah kewangan. Suami saya tidak bergaji tetap, selama ini saya menyara lebih separuh daripada perbelanjaan rumah.

Saya sudah mengadu kepada pihak atasan universiti, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Biro Pengaduan Awam tetapi saya tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.

Bolehkah mereka memecat saya dan tiadakah pampasan diberikan kepada saya?

- Pekerja Tertindas

Kuala Lumpur

Jawapan
Kami di Sisters In Islam cukup prihatin dengan masalah yang puan hadapi. Kelakuan pengurus tersebut sememangnya tidak bertimbang rasa. Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai pemecatan salah di sisi undang-undang.

Sememangnya undang-undang melindungi pekerja yang dipecat tanpa sebarang alasan munasabah. Oleh itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap majikan berdasarkan Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Tindakan ini dimulakan dengan membuat aduan bertulis. Puan perlu mengisi ‘Borang Representasi Di Bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967’. Borang ini boleh dimuat turun di laman web Jabatan Perhubungan Perusahaan di alamat http://jpp.mohr.gov.my/bm/utama. php. Borang ini perlu dialamatkan kepada:

Pengarah,

Jabatan Perhubungan Perusahaan Wilayah Persekutuan,

Tingkat 8, Menara PERKESO,

281, Jalan Ampang,

50450 Kuala Lumpur.

Puan perlu menyatakan dengan jelas butir-butir diri, penggajian dan pemecatan serta jenis hak yang ingin tuntut daripada majikan. Sesudah itu, lampirkan sesalinan surat pelantikan dan notis pembuangan kerja yang dikeluarkan oleh pengurus baru itu.

Serahkan borang kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan yang terhampir dengan tempat bekerja dulu.

Dalam membuat tindakan undang-undang ini, ada dua perkara yang perlu dibuktikan. Pertama, perlu membuktikan pihak universiti mengambil puan bekerja. Kedua, puan diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah. Surat tawaran bekerja atau kontrak bekerja boleh membuktikan perkara pertama. Manakala untuk membuktikan alasan yang munasabah, pihak majikan hanya boleh memecat pekerja mereka atas alasan seperti masalah disiplin atau mutu kerja yang tidak memuaskan.

Di sini, pihak universiti perlu membuktikan bahawa puan dibuang kerja atas alasan yang munasabah.

Ada had masa untuk mengambil tindakan ini terhadap majikan. Menurut Seksyen 20 (1A) Akta yang sama, puan perlu memulakan tindakan tersebut dalam masa 60 hari dari tarikh diberhentikan kerja, iaitu tarikh tamat notis sebulan yang diterima.

Jika puan memulakan tindakan ini lewat daripada tempoh ini, Pengarah Perhubungan Perusahaan tidak akan menerimanya.

Seperti yang telah diterangkan, puan perlu menyatakan hak yang ingin dituntut daripada majikan. Hak yang boleh dituntut ialah sama ada puan diterima bekerja semula atau diberikan pampasan.

Pampasan yang dimaksudkan terdapat dalam dua bentuk:

1. Bayaran gaji dari tarikh dibuang kerja sehingga hari terakhir perbicaraan. Kebiasaannya, tempoh ini dihadkan kepada dua tahun; dan

2. Pampasan sebagai ganti pengembalian semula pekerjaan. Nilai pampasan ini dikira dengan membayar jumlah gaji bulanan bagi setiap tahun puan bekerja di universiti itu.

Untuk maklumat lanjut, puan boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Perusahaan di talian 03-88865000. Puan juga boleh menghantar faks ke 03-88892355 atau e-mel ke alamat jppm@mohr.gov.my.

Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat:

No 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel telenisa@sistersinislam.org.my
Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)

Tiada ulasan: