Saranan ‘percuma’ termasuk daripada rakan boleh jadikan situasi lebih huru-hara
MEMASUKI alam pekerjaan bukan sekadar satu impian tetapi satu kemestian. Suka atau tidak, seiring anjakan usia, kehidupan harus diteruskan bukan lagi dengan pembiayaan ibu bapa tetapi sendirian berhad (sendiri). bagaimana caranya untuk menampung keperluan ini? Tentunya dengan bekerja.
Seawal menjejakkan kami ke alam pekerjaan, anda pastinya menerima pelbagai nasihat kewangan…secara percuma. Jangan boros, perlu berjimat dan elakkan berhutang kad kredit. Ini sememangnya nasihat yang bagus.
Tetapi AWAS!!! Tidak semua nasihat, pesanan, petua dan pantang-larang kewangan yang anda terima itu bagus. Salah pertimbangan, kedudukan kewangan anda akan menjadi lebih huru-hara.
PERANCANGAN berbelanja amat perlu untuk elak masalah kewangan.
Penulis kolum kewangan The Wall Street Journal, Jonathan Clements, menyebut mereka yang baru menceburi bidang pekerjaan sering kali diberikan nasihat kewangan secara percuma dan kebanyakan nasihat itu tidak membantu sebaliknya mampu menimbulkan pelbagai masalah.
Empat `nasihat’ popular di bawah, kata Clements, adalah antaranya.
1. Himpun/Kumpul Tunai
Seawal menceburi dunia pekerjaan, pasti ramai yang menyimpan pelbagai cita-cita - membeli kereta, rumah dan tidak ketinggalan melabur dalam pasaran saham.
Tetapi, ramai pakar kewangan berpendapat perkara paling penting yang harus dilakukan adalah membuat simpanan untuk kecemasan sekurang-kurangnya enam bulan jumlah perbelanjaan harian.
Hakikatnya, kata Clements, nasihat ini tidak realistik. Sekalipun anda menyimpan 10 peratus daripada pendapatan selepas pembayaran cukai, anda mungkin mengambil masa yang lama untuk membuat simpanan sebanyak itu.
Memburukkan keadaan, katanya, dalam memastikan simpanan kecemasan terus kukuh, ramai yang mengabaikan tabungan atau caruman yang lebih penting seperti skim kemudahan pekerja atau simpanan bagi pembelian rumah.
Nasihat beliau, lupakan tabungan untuk waktu kecemasan ini sebaliknya pastikan caruman dalam skim kemudahan pekerja, yang akan memberi pulangan lebih baik.
Ada simpanan dan nasib terbela sebagai pekerja.
2. Berbelanja mewah (besar)
Beli rumah paling besar yang boleh. Jangan, kata Clements. membuat pinjaman yang besar untuk membeli rumah yang besar dan mahal adalah satu tindakan tidak bijak, katanya. Anda hanya akan menambah beban perbelanjaan bulanan bagi membayar pinjaman perumahan dan mungkin beban membayar kos penyelenggaraan, cukai hartanah dan premium insurans perumahan sepanjang hayat.
Sepatutnya, beli rumah yang seadanya, sesuai dan selesa untuk anda dan keluarga.
3. Beli insurans nyawa/simpanan/pelaburan
Ejen insurans sentiasa `mendesak’ pekerja muda, dalam usia 20-an untuk membeli insurans nyawa merangkumi kemudahan pampasan kematian dan simpanan pelaburan dengan alasan ia lebih murah jika dibeli pada usia muda.
Jangan! Kata Clements, pembelian insurans sebegini, yang ternyata mahal hanya akan menjadi pelaburan yang tidak berfaedah jika syarikat anda menawarkan pelbagai skim atau pelan kemudahan pekerja yang melindungi kebajikan anda.
Perlu ingat, tujuan utama membeli insurans nyawa adalah untuk melindungi keluarga anda - anda tidak memerlukannya jika tidak berkeluarga, tiada suami, isteri atau anak. Jika sudah berkeluarga, dapatkan insurans yang hanya menawarkan kemudahan atau pampasan kematian. Itu sudah memadai, kata Clements.
4. Bergerak seiring pertumbuhan ekonomi
Sering kali anda dinasihatkan supaya membuat pelaburan besar dalam pasaran saham pada usia muda kerana pertama, ada masa panjang sebelum bersara dan kedua, cukup masa mengaut keuntungan sebelum pasaran saham jatuh. Ini adalah nasihat yang bagus - secara teori.
Realitinya, anda pasti tidak mahu melabur dalam pasaran saham dan panik ketika pasaran saham merudum. Lebih-lebih lagi, jika anda masih baru dalam `permainan’ ini dan tidak pernah berhadapan dengan krisis kejatuhan pasaran.
Sebaiknya, kata Clements, mulakan pelaburan dengan 60 peratus untuk saham dan 40 peratus bon. Jika anda tidak gusar dengan pasang surut pasaran saham, tingkatkan pelaburan saham ke 85 peratus atau 90 peratus satu atau dua tahun kemudian.
Kesimpulannya, jangan terlalu mudah terpengaruh dengan nasihat kewangan dan `termakan’ pujuk mereka yang konon-kononnya bergelar perundingan kewangan. Kenali kedudukan kewangan anda dan rancang perbelanjaan sebaiknya. Berpegang kepada perkara paling asas dan anda pasti tidak akan mengalami masalah kewangan.
10 tip pengurusan kewangan terbaik
1. Menerima gaji sepatutnya dan berbelanja kurang daripada pendapatan
Peraturan asas ini nampak mudah tetapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan.
Anda perlu tahu sama ada anda menerima gaji yang sepatutnya berbanding
kepakaran, keupayaan, produktiviti dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada anda. Menerima gaji rendah daripada yang sepatutnya, walaupun RM1,000 setahun akan memberi kesan yang besar dalam jangka panjang.
Tidak kira berapa gaji anda, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan.
Adalah lebih mudah untuk menyekat perbelanjaan daripada memperoleh pendapatan lebih. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan yang besar pada tabungan.
2. Rancang dan patuhi jadual perbelanjaan (bajet)
Rancang perbelanjaan anda. Anda tidak akan mampu berbelanja dan menyimpan pada masa yang sama tanpa perancangan kewangan yang betul.
3. Lunaskan hutang kad kredit
Berterus-terusan mempunyai hutang kad kredit adalah satu kesilapan paling besar. Memang terlalu mudah untuk menggunakan kad kredit tetapi amat payah untuk melunaskan hutang dan akhirnya anda akan terus dibeban hutang..yang BESAR!
4. Mencarum dalam pelan persaraan
Jika syarikat anda menyediakan pelan persaraan, jangan lepaskan peluang untuk mencarum. Jika tiada, pertimbangkan pelan atau skim lain yang disediakan untuk pekerja.
5. Menabung
Pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya lima peratus ke 10 peratus daripada gaji sebelum menyelesaikan segala bil. Cara paling baik, buat potongan secara automatik untuk akaun yang berbeza.
6. Melabur!
Pastikan anda membuat pelaburan - jika masih ada wang lebih selepas mencarum untuk skim persaraan atau skim simpanan pekerja dan menabung dalam akaun simpanan.
7. Tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja
Tambah nilai caruman anda pada skim kemudahan yang disediakan untuk pekerja. Ia akan membantu anda mengurangkan pembayaran cukai dan membataskan perbelanjaan yang tidak perlu.
8. Semak liputan insurans
Ramai orang membeli insurans dengan bayaran premium yang tinggi tanpa terlebih dulu menyelidik sama ada ia perlu atau tidak. Pastikan anda mempunyai insurans secukupnya tetapi pada masa yang sama tidak membebankan kedudukan kewangan.
9. Kemas kini wasiat
Lindungi orang yang disayangi. Pastikan anda membuat wasiat tidak kira berapa sedikit pun harta anda. Kira-kira 70 peratus warga Amerika tidak mempunyai wasiat.
10. Simpan rekod kewangan dengan baik
Jika anda tidak menyimpan semua rekod perbelanjaan, anda mungkin terlepas pandang untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk perbelanjaan tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan