Selasa, Ogos 28, 2007

Majikan tidak boleh halang pekerja masuk kesatuan

Majikan tidak boleh halang pekerja masuk kesatuan

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Majikan tidak boleh menghalang pekerjanya menganggotai kesatuan sekerja kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Zainal Rampak.

Zainal berkata, Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa pekerja dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja.

“Pekerja jangan takut untuk menganggotai kesatuan sekerja yang sah di sisi undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Zainal berkata, pada masa yang sama Seksyen 5 dan Seksyen 6 Akta Perhubungan Perusahaan juga menjelaskan bahawa pekerja dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja.

Beliau menegaskan, tujuan sebenar kesatuan sekerja ditubuhkan ialah mewujudkan suasana harmoni dalam industri dan pada masa yang sama masalah pekerja dan majikan dapat dibincangkan bersama.

Justeru katanya, tuduhan majikan bahawa penubuhan kesatuan akan menghalang pelaksanaan dasar yang diputuskan oleh syarikat adalah tidak benar.

Zainal berkata, majikan juga perlu bersedia untuk berkongsi keuntungan dengan pekerja mereka seperti yang terkandung dalam Sistem Reformasi Gaji.

Bagaimanapun, menurut Zainal, banyak syarikat tidak melaksanakan sistem tersebut.

Kata beliau, sikap sesetengah majikan yang mengaitkan gaji dan pembayaran bonus dengan produktiviti juga tidak praktikal kerana pekerja di Malaysia menunjukkan peningkatan produktiviti tetapi masih menerima gaji yang kurang setimpal.

Zainal berkata, laporan Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) tahun lepas menunjukkan pekerja Malaysia mencatatkan kenaikan produktiviti sehingga 3.5 peratus, angka yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia Pasifik.



Daripada bukti tersebut, kata Zainal, jelas bahawa mengaitkan gaji dan bonus dengan produktiviti tidak adil kepada pekerja.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan: