Isnin, Ogos 27, 2007

Kesepakatan kesatuan, majikan bawa kesejahteraan

KUALA LUMPUR 30 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kesepakatan antara kesatuan-kesatuan sekerja serta sikap majikan yang sanggup bertolak ansur dalam pelbagai hal membolehkan Malaysia mampu bersaing di pasaran antarabangsa.



Perdana Menteri berkata, sikap itulah sebenarnya yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup pekerja dan rakyat.



“Kita sudah melihat bagaimana negara maju pun akhirnya menjadi kurang maju apabila kesatuan sekerja mereka asyik mogok apabila berselisih dengan majikan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja esok.



Perdana Menteri berkata, kesanggupan menyelesaikan masalah upah dan sebagainya secara rundingan dan kesanggupan bertolak ansur membolehkan Malaysia terus mampu bersaing dengan negara lain.



Beliau berkata, cara yang diamalkan di Malaysia itu adalah jauh lebih baik dari semua segi dan ia harus dikekalkan.



Katanya, kefahaman kesatuan sekerja dan pekerja tentang selok-belok ekonomi dan baik buruknya tindakan yang diambil oleh masyarakat pekerja akan menentukan ekonomi negara tidak menghadapi gangguan.



“Gangguan itu berupa tindakan ujian kekuatan tentang siapa lebih kuat yang menjadi kaedah negara Barat dalam menyelesaikan masalah pekerja mereka,” jelas beliau.



Beliau berkata, peningkatan daya pengeluaran melalui penggunaan mesin dan alat telah memudahkan proses pengeluaran yang berupaya memperbaiki taraf hidup golongan pekerja untuk meningkatkan pendapatan mereka.



Beliau menambah, pencapaian itu juga telah membolehkan barangan keluaran Malaysia terus bersaing di pasaran.



Selain itu, katanya, nilai mata wang negara semakin kukuh berbanding nilai mata wang pesaing yang semakin susut dan langkah mengekalkannya adalah yang terbaik, di samping berusaha meningkatkan lagi daya pengeluaran negara.



Dr. Mahathir menambah, pengangguran bukanlah masalah besar memandangkan negara lebih suka semua kekosongan diisi oleh pekerja tempatan kerana ia dapat mengurangkan aliran tukaran asing ke negara lain.



“Sedikit sebanyak ia menjejaskan ekonomi negara. Maka jelaslah rakyat yang enggan bekerja menjadi beban kepada negara,” katanya.



Oleh kerana kerajaan berhasrat menghapuskan inflasi sama sekali, katanya, kawalan harga barangan yang diamalkan sejak masa perang 50 tahun lalu dikekalkan dan dikuatkuasakan hingga ke hari ini.



“Inflasi yang dihadapi sekarang tidaklah begitu tinggi ekoran pengurangan kegunaan barang-barang import.



“Ada negara yang inflasinya begitu tinggi sehingga kepercayaan kepada nilai mata wang hilang sama sekali atau puluhan ribu unit mata wang dibelanja setiap hari hanya untuk menyara hidup,” katanya.



Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak ingin melihat kenaikan upah pekerja dihakis oleh inflasi dan ia sememangnya ingin melihat taraf hidup pekerja meningkat.



Menurutnya, berbanding masa dahulu, semua upah dan gaji semua pekerja kini sudahpun bertambah dan secara amnya ini disebabkan daya pengeluaran pekerja yang semakin meningkat.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan: