Khamis, Oktober 25, 2007

Amaran Menteri Sumber Manusia tidak berasas – Syed Shahir



Oleh Faisal Mustaffa (Malaysia Today)

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud merasa kesal dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn, seperti yang tersiar dalam akhbar Berita Minggu 21 Oktober kelmarin, yang memberi amaran bahawa polis boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengadakan piket berhubung dengan pertikaian kesatuan sekerja tersebut dengan majikan.

Menurut Syed Shahir, tidak perlu ada sesuatu pihak, lebih-lebih lagi pihak kerajaan boleh mengugut mana-mana kesatuan sekerja yang menuntut kenaikan gaji yang munasabah lebih-lebih lagi dalam konteks pertikaian perusahaan (trade dispute) yang masih belum selesai.
Dalam satu kenyaataan rasmi yang dikeluarkan oleh beliau, Syed Shahir berkata, kedua-dua pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-bank Perdangan Malaysia (MCBA) tidak dapat menyelesaikan pertikaian berhubung dengan tuntutan yang dibuat oleh NUBE yang mewakili 30,000 ahli-ahlinya berkaitan kenaikan gaji sebanyak 30%, bonus dua bulan dan pemberian elaun sara hidup (Cola).

Kenyataan itu juga menyebut mengenai Seksyen 40 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bahawa tidak ada sebarang peruntukan yang melarang ahli kesatuan sekerja meneruskan piket meskipun kes tuntutan telah dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan.
“MTUC menyokong perjuangan NUBE dalam isu tuntutan kenaikan gaji sebanyak 30%, bonus 2 bulan dan pemberian Cola,” kata Syed Shahir.

Justeru, MTUC menggesa Menteri berkenaan menarik balik dengan segera amaran beliau itu dan berharap amaran dengan tujuan menakut-nakutkan golongan pekerja sedemikian tidak berulang lagi di masa yang akan datang.

October 24, 2007
Amaran Menteri Sumber Manusia tidak berasas – Syed Shahir
Filed under: Current Affairs

Tiada ulasan: