Selasa, Ogos 28, 2007

Majikan tidak boleh halang pekerja masuk kesatuan

Majikan tidak boleh halang pekerja masuk kesatuan

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Majikan tidak boleh menghalang pekerjanya menganggotai kesatuan sekerja kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Zainal Rampak.

Zainal berkata, Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa pekerja dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja.

“Pekerja jangan takut untuk menganggotai kesatuan sekerja yang sah di sisi undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Zainal berkata, pada masa yang sama Seksyen 5 dan Seksyen 6 Akta Perhubungan Perusahaan juga menjelaskan bahawa pekerja dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja.

Beliau menegaskan, tujuan sebenar kesatuan sekerja ditubuhkan ialah mewujudkan suasana harmoni dalam industri dan pada masa yang sama masalah pekerja dan majikan dapat dibincangkan bersama.

Justeru katanya, tuduhan majikan bahawa penubuhan kesatuan akan menghalang pelaksanaan dasar yang diputuskan oleh syarikat adalah tidak benar.

Zainal berkata, majikan juga perlu bersedia untuk berkongsi keuntungan dengan pekerja mereka seperti yang terkandung dalam Sistem Reformasi Gaji.

Bagaimanapun, menurut Zainal, banyak syarikat tidak melaksanakan sistem tersebut.

Kata beliau, sikap sesetengah majikan yang mengaitkan gaji dan pembayaran bonus dengan produktiviti juga tidak praktikal kerana pekerja di Malaysia menunjukkan peningkatan produktiviti tetapi masih menerima gaji yang kurang setimpal.

Zainal berkata, laporan Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) tahun lepas menunjukkan pekerja Malaysia mencatatkan kenaikan produktiviti sehingga 3.5 peratus, angka yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia Pasifik.



Daripada bukti tersebut, kata Zainal, jelas bahawa mengaitkan gaji dan bonus dengan produktiviti tidak adil kepada pekerja.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online

Isnin, Ogos 27, 2007

Bicara Buruh: Buruh Punya Hak Atas Pekerjaannya




Buat buruh, apabila pekerjaannya ditamatkan atau dalam bahasa yang lebih mudah ‘dibuang kerja’ maka ianya sesuatu yang sangat berat. Hal tersebut akan memberi kesan berat kepadanya dari segi baik dari fizikal maupun mental.
Seseorang buruh yang hilang pekerjaan akan memberi makna bahawa beliau hilang mata pencarian atau punca rezeki. Kesannya tidak hanya dirasai oleh beliau secara peribadi malah keluarganya sendiri yang secara langsung bergantung hidup keatasnya.
Ada yang pernah menyatakan bahawa kehilanga pekerjaan akibat dari tindakan majikan seperti ‘hukuman mati’ dari segi ekonomi. Seorang hakim dan ahli hukum dari India pernah menyebut bahawa seorang buruh yang dibuang kerja seolah-olah beliau menghadapi ‘hukuman gantung’. Ringkasnya, pekerjaan adalah sesuatu yang sangat penting dan berharga buat buruh.
Persoalannya, begitu pekerjaan dianggap penting, mengapakah sering kita dengar yang pekerja-pekerja saban hari dibuang oleh majikan mereka?

Boleh dikatakan ribuan bilangan kes yang dirujuk ke Jabatan Perhubungan Perusahaan atau Jabatan Buruh (kedua-dua agensi ini di bawah Kementerian Sumber Manusia) untuk suatu penyelesaian.
Tidak kurang juga besarnya jumlah kes-kes yang menunggu perbicaraan di Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Buruh. Di suatu sisi, para majikan menganggap bahawa mereka punya hak untuk mengambil tindakan terhadap buruh termasuk memberhentikan pekerjaan buruh tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang.
Namun demikian, Mahkamah Persekutuan, melalui penghakimannya dalam kes Milan Auto, menegaskan kegagalan majikan dalam mengadakan siasatan (inquiry), walaupun pekerja itu termasuk dalam skop Akta Kerja, 1955, masih boleh dipulihkan melalui perbicaraan di Mahkamah Perusahaan.
Pada umumnya, apabila sesuatu kes pembuangan kerja yang dirujuk di bawah Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan, 1967, tidak dapat diselesaikan di peringkat Jabatan Perhubungan Perusahaan dan kes itu telah dirujuk oleh Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan, maka Mahkamah akan membicarakannya sesuai dengan kuasa yang diberikan kepadanya.
Mahkamah Perusahaan selepas membicarakan kes pembuangan kerja yang berkenaan akan memutuskan sama ada bersetuju dengan tindakan majikan atau memutuskan bahawa pembuangan kerja yang dilakukan terhadap pekerja yang terlibat sebagai tidak adil.
Jika mahkamah mendapati yang kes pembuangan kerja itu dilakukan sebagai tidak adil, maka ia akan memutuskan yang pekerja yang berkenaan diambil semula bekerja tanpa kehilangan sebarang faedah termasuk gaji, elaun, bonus dan lain-lain lagi atau pekerja atau pekerja itu hanya dibayar pampasan dan kehilangan gaji sepanjang tempoh pembuangan.
Yang dipersoalkan ialah, sejauh mana adilnya majikan apabila ia mengadakan ‘siasatan domestik’? menerusi pengalaman, apabila majikan mengeluarkan surat supaya diadakan ‘siasatan domestik’ banyak kes yang berakhir dengan pembuangan kerja.
Biasanya panel yang duduk dalam ‘siasatan domestik’ tersebut adalah terdiri dari pengurus-pengurus dan pegawai-pegawai syarikat.Jika kebetulan di syarikat atau kilang itu terdapat kesatuan pekerja, maka buruh yang berkenaan bernasib baik kerana beliau dapat dibela oleh kesatuannya.
Bagaimana halnya jika tidak terdapat kesatuan pekerja di kilang atau syarikat itu? Kita semua maklumi bahawa jumlah buruh yang diorganisir ke dalam kesatuan pekerja di negara kita adalah kurang lebih 10% sahaja. Ini bermakna jumlah pekerja yang tidak berkesatuan pekerja adalah sangat besar.
Telah tiba masanya bahawa suatu peraturan yang jelas dan mudah diadakan dalam Akta Kerja, 1955 yang berkaitan dengan proses penyiasatan sebelum sesuatu tindakan disiplin diambil terhadap seseorang pekerja.
Peraturan sedemikian diharapkan dapat memberi hak dan perlindungak kepada para buruh dari dibuang dan diambil tindalan disiplin yang sewenang-wenangnya oleh majikan yang tidak bertanggungjawab. Adalah wajar bagi kita untuk melihat bahawa para buruh itu sebagai insan yang punya maruah dan harga diri.
Jika kita mengakui yang buruh itu bermaruah sebaiknyalah yang mereka dilayani secara lebih manusiawi!

Kesepakatan kesatuan, majikan bawa kesejahteraan

KUALA LUMPUR 30 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kesepakatan antara kesatuan-kesatuan sekerja serta sikap majikan yang sanggup bertolak ansur dalam pelbagai hal membolehkan Malaysia mampu bersaing di pasaran antarabangsa.



Perdana Menteri berkata, sikap itulah sebenarnya yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup pekerja dan rakyat.



“Kita sudah melihat bagaimana negara maju pun akhirnya menjadi kurang maju apabila kesatuan sekerja mereka asyik mogok apabila berselisih dengan majikan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja esok.



Perdana Menteri berkata, kesanggupan menyelesaikan masalah upah dan sebagainya secara rundingan dan kesanggupan bertolak ansur membolehkan Malaysia terus mampu bersaing dengan negara lain.



Beliau berkata, cara yang diamalkan di Malaysia itu adalah jauh lebih baik dari semua segi dan ia harus dikekalkan.



Katanya, kefahaman kesatuan sekerja dan pekerja tentang selok-belok ekonomi dan baik buruknya tindakan yang diambil oleh masyarakat pekerja akan menentukan ekonomi negara tidak menghadapi gangguan.



“Gangguan itu berupa tindakan ujian kekuatan tentang siapa lebih kuat yang menjadi kaedah negara Barat dalam menyelesaikan masalah pekerja mereka,” jelas beliau.



Beliau berkata, peningkatan daya pengeluaran melalui penggunaan mesin dan alat telah memudahkan proses pengeluaran yang berupaya memperbaiki taraf hidup golongan pekerja untuk meningkatkan pendapatan mereka.



Beliau menambah, pencapaian itu juga telah membolehkan barangan keluaran Malaysia terus bersaing di pasaran.



Selain itu, katanya, nilai mata wang negara semakin kukuh berbanding nilai mata wang pesaing yang semakin susut dan langkah mengekalkannya adalah yang terbaik, di samping berusaha meningkatkan lagi daya pengeluaran negara.



Dr. Mahathir menambah, pengangguran bukanlah masalah besar memandangkan negara lebih suka semua kekosongan diisi oleh pekerja tempatan kerana ia dapat mengurangkan aliran tukaran asing ke negara lain.



“Sedikit sebanyak ia menjejaskan ekonomi negara. Maka jelaslah rakyat yang enggan bekerja menjadi beban kepada negara,” katanya.



Oleh kerana kerajaan berhasrat menghapuskan inflasi sama sekali, katanya, kawalan harga barangan yang diamalkan sejak masa perang 50 tahun lalu dikekalkan dan dikuatkuasakan hingga ke hari ini.



“Inflasi yang dihadapi sekarang tidaklah begitu tinggi ekoran pengurangan kegunaan barang-barang import.



“Ada negara yang inflasinya begitu tinggi sehingga kepercayaan kepada nilai mata wang hilang sama sekali atau puluhan ribu unit mata wang dibelanja setiap hari hanya untuk menyara hidup,” katanya.



Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak ingin melihat kenaikan upah pekerja dihakis oleh inflasi dan ia sememangnya ingin melihat taraf hidup pekerja meningkat.



Menurutnya, berbanding masa dahulu, semua upah dan gaji semua pekerja kini sudahpun bertambah dan secara amnya ini disebabkan daya pengeluaran pekerja yang semakin meningkat.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online